Anda di sini

Menyamar nelayan Malaysia

Advertisement
 Salah sebuah bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran palsu Malaysia, ditahan oleh APMM DM13 Miri, ketika menangkap ikan secara haram perairan, kira-kira 127 batu nautika dari Kuala Sungai Miri, ditunda ke PTV Pulau Melayu, pada awal pagi 16 Jun.
DITAHAN: Salah sebuah bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran palsu Malaysia, ditahan oleh APMM DM13 Miri, ketika menangkap ikan secara haram perairan, kira-kira 127 batu nautika dari Kuala Sungai Miri, ditunda ke PTV Pulau Melayu, pada awal pagi 16 Jun.

Cubaan bot nelayan Vietnam guna nombor pendaftaran M’sia ceroboh perairan S’wak gagal.

MIRI: Tindakan dua bot nelayan Vietnam cuba menyamar menggunakan nombor pendaftaran Malaysia untuk mengaut hasil di perairan negeri ini tidak berjaya selepas kegiatan dihidu dan dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 Kapal peronda APMMM yang sedang melakukan Ops Permai berjaya mengesan dua bot nelayan sedang melakukan penangkapan ikan secara tunda ganding kirakira enam batu nautika, sekitar jam 10.37 malam pada 15 Jun lalu.

 Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, peronda APMM DM 13 Miri merapati kedua-dua bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan Malaysia.

 Bagaimana ketika pemeriksaan terperinci dilakukan, anggota penguat kuasa APMM DM 13 Miri mendapati kedua-dua bot nelayan tersebut telah memalsukan nombor pendaftaran mereka kerana kedua-duanya tidak berdaftar di Malaysia.

 Pengarah Maritim DM 13 Komander Maritim Mohd Hambali Ya'akub berkata salah sebuah bot yang menggunakan nombor pendaftaran SF2- 3728 adalah didaftarkan di bawah nombor KG-95298-TS, manakala sebuah lagi (SF2- 4097) didaftarkan di bawah nombor KG95297-TS, di mana kedua-duanya didaftarkan di negara Vietnam.

 “Pemeriksaan kita juga mendapati kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

 “Justeru, kita menahan semua 26 kru kedua-dua bot itu juga warganegara Vietnam berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 35 tahun.

 “Tiga daripada kru tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.

 Mohd Hambali mengesahkan kedua-dua bot nelayan Vietnam beRserta 26 kru ditahan pada jarak 127 batu nautika dari kuala Sungai Miri pada jam 12.51 tengah malam, 16 Jun lalu dan ditunda serta dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) di Pulau Melayu untuk siasatan lanjut.

 Manakala hasil tangkapan mereka sebanyak 70 tan dengan nilai pasaran dianggarkan RM500,000 turut dirampas.

  • oleh
  • Advertisement