Anda di sini

Tiada PRK Pujut

Advertisement
MOHD HASHIM
MOHD HASHIM

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching semalam memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut tidak akan diadakan.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, mahkamah telah memutuskan tidak ada kekosongan luar jangka berlaku dan Dr Ting Tiong Choon masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Sehubungan itu, SPR akur dengan perintah tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan keputusan mahkamah itu.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan perkara-perkara ini bagi memuktamadkan keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

SPR selepas menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut daripada Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar pada 16 Mei lepas, memutuskan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi mencari pengganti Dr Ting.

Mereka menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala mengundi pada 4 Julai.

Mahkamah Tinggi Kuching menerusi Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun semalam memutuskan keputusan Asfia pada 12 Mei lepas sebagai tidak sah kerana melangkaui bidang kuasanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 12 Mei lepas, Dr Ting hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut susulan usul dibentangkan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan diluluskan oleh Dewan.

Dr Ting didakwa mempunyai kewarganegaraan Australia yang tidak dibenarkan dalam undang-undang.

Dalam penghakimannya semalam, Douglas berkata perlembagaan jelas menyatakan bahawa jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, mereka perlu membuat satu petisyen pilihan raya kepada mahkamah.

Dewan, katanya, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berurusan dengan keputusan pilihan raya dan bukan satu badan yang kompeten untuk membuat keputusan mengenai isu-isu perlembagaan.

Pelucutan kelayakan plaintif adalah bertentangan dengan peraturan keadilan asasi dan juga melanggar perlembagaan negeri khususnya Perkara 17 (1) (g) di dalamnya dan/atau Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan/atau Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, plaintif (Dr Ting) tidak diberikan masa dan peluang yang mencukupi untuk membela diri berhubung dakwaan memiliki dua kewarganegaraan, Malaysia dan Australia.

Hal kewarganegaraan adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Speaker membuat keputusan kurang tepat dalam mentakrifkan undang-undang mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Susulan keputusan itu semalam, mahkamah turut memerintahkan Asfia selaku defendan pertama dan Soon Koh selaku defendan kedua membayar bersama kos guaman RM100,000 kepada Dr Ting.

Dr Ting telah memfailkan saman pemula dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Jun bagi mencabar pemecatannya sebagai ADUN Pujut oleh Speaker DUN melalui undian. 

Usul tersebut dibentangkan oleh Soon Koh yang merupakan Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan, disokong oleh Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil.

Usul tersebut mendapat sokongan daripada 70 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) manakala 10 wakil rakyat pembangkang menentang.

Dr Ting diwakili pasukan lapan peguam diketuai peguam kanan Chong Siew Chiang, manakala Asfia dan Soon Koh diwakili peguam Shankar Ram Asnani dan Grace Lee.

Pada Pilihan Raya Negeri 2016, Dr Ting menang dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon daripada BN, PAS dan Bebas.

Susulan itu, calon BN Hii King Chiong memfailkan Petisyen Pilihan Raya dan ia ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 14 Oktober 2016.

  • oleh
  • Advertisement