Anda di sini

RFF tampilkan kekayaan identiti, budaya Sarawak

Advertisement
 Abdul Karim bersama Lee (kiri) dan Ik Pahon (kanan) semasa sidang media menyatakan RWMF kali ini membawa kelainan dengan menampilkan Rainforest Fringe Festival (RFF) sebagai ‘prelude’ RWMF 2017.
KELAINAN: Abdul Karim bersama Lee (kiri) dan Ik Pahon (kanan) semasa sidang media menyatakan RWMF kali ini membawa kelainan dengan menampilkan Rainforest Fringe Festival (RFF) sebagai ‘prelude’ RWMF 2017.

KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada tahun ini membawa kelainan berbanding tahun sebelumnya dengan menampilkan Rainforest Fringe Festival (RFF) yang diadakan dari 7 hingga 16 Julai 2017.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RFF merupakan ‘prelude’ kepada RMWF yang diadakan pada 14 hingga 16 Julai ini.

“Pada tahun ini RWMF membawakan kelainan dari segi pengisian praprogram iaitu RFF yang menampilkan pelbagai aktiviti tambahan serta penglibatan bandar Kuching.

“RFF menggambarkan kekayaan identiti serta kebudayaan Sarawak yang menampilkan aktiviti seperti pameran oleh anak seni, jurugambar dan pereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat yang dihadiri Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan Setiausaha Tetap kementerian Datu Ik Pahon Joyik di sini, semalam.

Katanya, pada tahun ini RWMF menyasarkan 20,000 pengunjung yang datang ke Kampung Budaya Sarawak, iaitu venue tradisi kepada RWMF.

“RFF yang kita adakan ini adalah sempena dengan ulang tahun ke-20 penganjuran RWMF dan diharap dapat meningkatkan industri pelancongan kita,” katanya.

Abdul Karim berkata, antara lain yang diketengahkan semasa acara selama 10 hari RFF ialah Sada Kamek, iaitu persembahan konsert menampilkan beberapa bakat tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Mathew Ngau serta ramai lagi.

Program berkenaan diadakan pada 9 Julai bertempat di Panggung Udara Kuching yang terbuka kepada orang awam, katanya.

Sementara bagi pameran kesenian pula mengambil tempat di bangunan Mahkamah Lama, di mana pengunjung dapat menyaksikan ilustrasi dengan memaparkan keindahan alam semula jadi Sarawak.

Manakala, di Hotel Waterfront pula turut diadakan Gala Fesyen yang menyaksikan peragaan ‘Sarawak: Theather of Clothes’ dengan menampilkan koleksi daripada pereka terkenal seperti Datuk Tom Abang Saufi, Edric Ong, Ramsay Ong, Tanoti dan Neng Kho Razali.

Masyarakat Kuching juga dari luar turut dipelawa memeriahkan RFF dan panduan festival serta butir pendaftaran boleh didapati di www.rainforestfringe.com atau melalui Facebook (rffsarawak).

  • oleh
  • Advertisement