SERIAN: Seorang lelaki terpaksa dikeluarkan dari dalam kereta dengan bantuan bomba selepas kereta yang dipandunya terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 9 Jalan Serian-Tebedu, di sini semalam.
Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata, kemalangan yang turut membabitkan sebuah kereta peronda polis (MPV) jenis pacuan empat roda (4WD) berlaku pada jam 1.45 petang apabila kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan MPV bergerak dari arah Tebedu ke Serian apabila sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian tepi kanan MPV dan seterusnya melanggar hadapan sebuah lagi kereta di belakang MPV.
“Kereta yang berada di belakang MPV kemudian melanggar sebuah lagi kereta di laluan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambahnya kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain menjalankan siasatan di tempat kejadian, kita juga telah mengambil sampel darah pemandu dan penumpang kereta yang terbabas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.48 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Bomba kemudian membantu mengeluarkan seorang mangsa yang masih berada di dalam keretanya yang mengadu sakit dada,” katanya yang turut memberitahu pihaknya menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
Difahamkan, mangsa yang berjaya dikeluarkan dari dalam keretanya kemudian diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
Manakala pemandu dan penumpang kenderaan 4WD dan dua lagi kereta dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan turut dihantar ke Hospital Serian untuk pemeriksaan.
“Bomba kemudian bertindak mengalihkan kereta mangsa ke bahu jalan dan seterusnya membuat pembersihan sisa-sisa kemalangan di tempat kejadian sebelum beredar,” katanya lagi.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke tempat kejadian.
Dalam satu lagi kemalangan, seorang kelindan lori tersepit hampir satu jam di dalam lori dinaikinya selepas terlibat kemalangan di Batu 16 Jalan Serian-Balai Ringin, di sini semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 3.40 petang dan pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 4.15 petang.
“Kemalangan melibatkan pertembungan antara dua lori membawa muatan sehingga menyebabkan seorang kelindan lori tersepit di bahagian kaki.
“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan ‘rescue tool’ untuk kerja merenggangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mangsa berusia 57 tahun itu kemudian diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
Kedua-dua pemandu lori tersebut dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.