Anda di sini

Gabriel Fairuz Louis dilantik sebagai duta belia TN50 Seni dan Budaya

Advertisement
 Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar beramah mesra bersama Duta Belia Transformasi 2050 (TN50) yang baru diperkenalkan selepas taklimat khas media baru-baru ini. Turut hadir Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr. Izhar Ariff (belakang kiri). — Gambar Bernama
DUTA TN50: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar beramah mesra bersama Duta Belia Transformasi 2050 (TN50) yang baru diperkenalkan selepas taklimat khas media baru-baru ini. Turut hadir Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr. Izhar Ariff (belakang kiri). — Gambar Bernama

KUCHING: Artis Iban terkenal, Gabriel Fairuz Louis  dilantik sebagai duta belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi bidang Seni dan Budaya.

Dikenali sebagai perintis atau artis solo revolusi Iban pertama di Sarawak, Gabriel merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Dayak. 

Gabriel mencipta sejarah tersendiri kerana telah menjadi artis Iban pertama yang menyanyikan lagu Iban di pertandingan peringkat antarabangsa.

Pada pertandingan International Pop Music Festival 2013 di Varna, Bulgaria, Gabriel diberi penganugerahan Diploma Award ‘Best Hits Country’ menerusi lagu ciptaannya, ‘Pechaya’ (Percaya/Believe).

Perjalanan seni Gabriel tidak terhenti setakat itu, di mana beliau telah menerima beberapa pengiktirafan lain pada majlis-majlis anugerah muzik Dayak.

Antaranya, Juara Lagu 2012 (AJARR), Album Terbaik (Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2012 dan 2014), Penyanyi Lelaki Terbaik (AMD 2012 dan 2014) serta Penyanyi Balada Terbaik (AMD 2012 dan 2014).

Mengulas mengenai perlantikannya sebagai duta belia TN50, Gabriel berkata ini merupakan peluang terbaik untuknya menyumbang sesuatu kepada komuniti khususnya para belia.

“TN50 memberi inspirasi kepada saya untuk membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan para belia betapa pentingnya ia kepada negara dalam jangka masa panjang.

“Sebagai contoh saya sendiri terlibat dalam industri muzik dan penglibatan belia dalam muzik dapat menghindarkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Bagi mereka yang berbakat, bidang seni dan budaya adalah peluang untuk mereka menjana pendapatan sekali gus menambahkan pendapatan negara,” kata Gabriel.

Dalam pada itu, beberapa program seperti dialog, seminar dan slot temuduga di radio akan dilaksanakan di Sarawak untuk mempromosi serta memperkenalkan TN50 kepada belia. 

Melalui program-program ini, Gabriel akan dapat berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat bersama belia terutama sekali dari segi tanggungjawab sebagai belia untuk menyokong dasar TN50.

Gabriel berharap agar usaha ini akan mendapat sokongan daripada para belia khususnya mereka yang terlibat dalam bidang seni dan budaya.

Pemilihan duta belia TN50 dibuat berdasarkan beberapa kriteria antaranya telah mengharumkan nama negara dan terus bersemangat untuk menabur bakti.

Mereka yang dipilih juga adalah dari kalangan yang pakar dalam  bidang masing-masing serta berpengaruh positif dan mempunyai jalinan yang baik dengan belia.

Selain Gabriel, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup; pelakon dan pengacara, Noor Neelofa Mohd Noor; pakar fatwa, Datuk Izhar Afiff; Pengurus Eksekutif (Operasi) ABIM, Jufitri Joha; pengasas JuaraGym, Ben Uzair; artis seni halus, Anniketyni Madian; usahawan Juliana Lim dan Esther Michael serta aktivitis marin Nadhirah Mohd Rifai.

Ini adalah pelantikan siri kedua duta selepas 13 duta termasuk bekas pemain skuasy negara, Sharon Wee Ee Lin dilantik pada 14 April.

TN50 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Januari 2017 dan merupakan satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh dari 2020 hingga 2050.  

  • oleh
  • Advertisement