Anda di sini

Dr Ting kekal ADUN Pujut

Advertisement

(Hakcipta terpelihara. Sebarang bentuk penerbitan semula sama ada menerusi media sosial atau bercetak tanpa kebenaran dan kredit kepada Utusan Borneo akan diambil tindakan.)

Dr Ting (dua kanan) meraikan keputusan mahkamah bersama ahli-ahli DAP.
Dr Ting (dua kiri) meraikan keputusan mahkamah bersama ahli-ahli DAP.

KUCHING: Dr Ting Tiong Choon kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang sah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memihak kepadanya hari ini.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Douglas Christo Primus Sikayun berkata Speaker DUN, Datuk Amar Asfia Awang Nassar membuat keputusan melampaui bidang kuasanya.

Justeru katanya, Dr Ting selaku plaintif adalah layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kekal sebagai ADUN Pujut yang dipilih oleh rakyat.

Susulan keputusan itu semalam, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan defendan pertama dan kedua iaitu Speaker DUN Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan Dato Sri Wong Soon Koh membayar kos guaman RM100,000 kepada plaintif.

Dalam reaksinya kepada keputusan tersebut, Dr Ting berkata, beliau berharap kes ini akan memberi pengajaran kepada BN untuk mengikuti prosedur sewajarnya.

“Saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak menganiaya rakyat Pujut," katanya kepada pemberita selepas prosiding berkenaan.

Susulan keputusan ini, Pilihan Raya Kecil Pujut yang ditetapkan pada 4 Julai dibatalkan. Bagaimanapun, kenyataan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum diterima setakat ini. 

Semalam, pucuk pimpinan BN dan DAP menangguhkan pengumuman nama calon masing-masing sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini. 

Dr Ting menfailkan saman pemula terhadap empat plaintif - Asfia, Wong, Dewan Undangan Negeri, SPR - pada 7 Jun.

Pada 12 Mei lepas, menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri, Dr Ting dilucutkan keahlian susulan usul dibawa Wong, diluluskan oleh Dewan selepas mendapat 70 undian berbanding 10 membantahnya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hashidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan kes tersebut.

“Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi telah memutuskan Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam menentukan soal hilang kelayakan di kalangan ahlinya sendiri meskipun mempunyai fakta-fakta menunjukkan seseorang ahli telah melanggar mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata, kehilangan kelayakan Dr Ting jelas merupakan penyalahgunaan kuasa Dewan Undangan Negeri.

“Sedih untuk mengatakan perkara ini berlaku dalam persidangan Dewan (Datuk Amar) Abang Johari Tun Openg yang pertama sebagai Ketua Menteri Sarawak dan beliau, sebagai Ketua Menteri membenarkan penyalahgunaan memalukan itu berlaku.

“Ini akan menjadi sejarah sebagai stigma dahsyat dalam kerjaya politik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

(Berita lanjut menyusul)

  • oleh
  • Advertisement