Anda di sini

Dirogol sepupu ketika mabuk

(Hakcipta terpelihara. Sebarang bentuk penerbitan semula sama ada menerusi media sosial atau bercetak tanpa kebenaran dan kredit kepada Utusan Borneo akan diambil tindakan.)

  Suspek menunjukkan pakaiannya sudah dibasuh dalam mesin basuh ketika ditangkap oleh polis petang tadi.
KENA CEKUP: Suspek menunjukkan pakaiannya sudah dibasuh dalam mesin basuh ketika ditangkap oleh polis petang tadi.

SIBU: Keseronokan melampau selepas kunjungan ke sebuah pusat hiburan bertukar sejarah hitam apabila seorang suri rumah terkejut mendapati dia berbogel bersebelahan sepupunya.

Pengadu, 38, yang tidak berpuas hati apabila menyedari tubuhnya telah menjadi santapan nafsu satu malam kepada suspek tanpa kerelaannya, lantas mendakwa dia telah dirogol.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, satu laporan polis berhubung insiden tersebut telah diterima oleh pihaknya.

Sebelum kejadian, pengadu telah mengunjungi sebuah pusat hiburan di pusat bandar bersama suspek sekitar jam 10 malam tadi.
 
"Mangsa bersama suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian menginap di sebuah hotel di Jalan Market.

"Keesokan harinya kira-kira jam 3 pagi wanita itu terbangun dari tidurnya dan mendapati dirinya tanpa pakaian di sebelah suspek," katanya.

Saiful memberitahu mangsa bergegas keluar dari hotel dan terus menuju ke balai polis untuk membuat laporan menyatakan bahawa dia telah dirogol oleh seorang lelaki.

"Lebih malang, lelaki yang didakwa pengadu merogolnya mempunyai pertalian persaudaraan dengannya," jelas Saiful.

Polis berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah rumah panjang di Jalan Salim-Stabau petang tadi.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.