Anda di sini

Tiga lelaki menyamar polis ditahan di Sik

Advertisement

ALOR SETAR: Taktik tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun seorang lelaki akhirnya menerima padah apabila mereka ditangkap oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis di Kampung Batu Lima, Sik, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun, yang memandu kenderaan Toyota Hilux ke Jeneri menyedari beliau diekori oleh dua buah kenderaan jenis Nissan Navara dan sebuah Proton Saga.

“Sampai di tempat kejadian, tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman itu telah turun dari kereta dan datang ke arah mangsa dengan memegang sepucuk pistol dan cota,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, semalam.

Beliau berkata mangsa sempat menghubungi majikannya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada polis dan dalam masa yang sama meminta bantuan daripada penduduk kampung dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Penduduk kampung yang berada berhampiran tempat kejadian telah berjaya menahan tiga suspek berusia 21, 25 dan 32 tahun manakala dua lagi suspek yang berada dalam kereta Proton Saga berjaya melarikan diri,” katanya.

Mior Farid Al Athrash berkata dua minggu sebelum kejadian, satu laporan berhubung kejadian samun telah dibuat di Sik di mana mangsa samun mengalami kerugian berjumlah RM10,000.

“Kita percaya ini merupakan kes kedua yang dilakukan oleh kumpulan yang sama kerana modus operadi yang digunakan sama. Kesemua suspek yang berasal dari Selangor ini dipercayai datang ke Sik dan menyewa di rumah inap desa sebelum melakukan jenayah di situ.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau yang melibatkan kes jenayah dan dadah dan usaha untuk mengesan dua lagi suspek sedang dilakukan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan Nissan Navara yang dinaiki suspek, polis menemukan sepucuk pistol mainan, cota, parang, kapak kecil dan telefon bimbit.

Kesemua suspek ditahan reman selama 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, katanya. — Bernama

Advertisement