Anda di sini

Perlu bekerja keras tawan kembali Pujut

Advertisement
 Dr Sim (empat kiri) selesai merasmikan Bazar Ramadan Kota Sentosa dalam kawasan MPP di Kuching semalam.                                       Turut kelihatan Lo (dua kanan) dan yang lain.
RASMI: Dr Sim (empat kiri) selesai merasmikan Bazar Ramadan Kota Sentosa dalam kawasan MPP di Kuching semalam. Turut kelihatan Lo (dua kanan) dan yang lain.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Barisan Nasional (BN) amnya perlu bekerja lebih keras untuk menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 Julai nanti.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata kerusi Pujut amat mencabar kepada BN dan merupakan kubu kuat DAP selama tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut sejak 2006.

Malah menurut Dr Sim, pada PRN 2016 yang lepas, calon langsung Barisan Nasional (BN) sekali lagi tewas kepada calon DAP dengan perbezaan hampir 1,800 undi.

“PRK Pujut ini adalah luar daripada jangkaan kami tetapi memandangkan ia sudah ditetapkan jadi kami perlu mempersiapkan diri kami.

“Saya sedar, kerusi ini amat mencabar dan kita memerlukan calon yang dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan ini kerana selepas bertahun lamanya di bawah DAP, kawasan ini memerlukan banyak perhatian.

“Sama seperti di Batu Kawah, kami bekerja keras kerana selama lima tahun di bawah DAP rakyat di Batu Kawah cuma mampu tengok sahaja dan sekarang kita perlu bekerja keras untuk mengejar semula pembangunan dalam kawasan Batu Kawah,” kata Dr Sim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian Bazar Ramadan Kota Sentosa dalam kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dekat sini semalam.

Bazar tersebut dianjurkan dengan kerjasama MPP, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Sarawak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengulas mengenai bazar tersebut, Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata ia merupakan satu usaha yang baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan masyarakat terutama  umat Islam untuk membeli juadah berbuka puasa.

Malah katanya, bazar itu juga dikunjungi masyarakat bukan Islam yang turut sama-sama memeriahkan lagi bulan Ramadan.

“Selain memudahkan umat Islam membeli juadah berbuka puasa, bazar ini juga menyediakan impak ekonomi kepada para peniaga kecil.

“Saya mengucapkan syabas kepada MPP yang telah berjaya menganjurkan bazar ini setiap kali Ramadan begitu juga dengan PBT yang lain seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU),” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang yang juga ADUN Batu Kitang, Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan dan yang lain.

  • oleh
  • Advertisement