Anda di sini

Pengangkut barang dikhuatiri lemas

Advertisement
 Anggota terlibat menjalankan gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas.
CARI: Anggota terlibat menjalankan gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas.

KAPIT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kapit terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki dikhuatiri lemas di sini semalam.

Mangsa dikenali Phang Chee Song, 39, dipercayai terjatuh ketika mengangkat barang dari bot ekspres di Terminal Bot Ekspres Kapit tengah hari kelmarin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit Erwandy Tugor, operasi mencari dan menyelamat dijalankan kelmarin namun dihentikan sekitar jam 4 petang akibat hujan lebat turun.

Jelasnya, operasi dijalankan semula bermula jam 8 pagi semalam, disertai hampir 20 orang terdiri daripada anggota Balai Bomba Song dan Kapit, Polis Diraja Malaysia dan orang awam.

Tambahnya, radius pencarian juga diperluas kepada 41 kilometer dari Terminal Bot Ekspres Kapit sehingga ke Song kerana dikhuatiri mangsa hanyut akibat air sungai deras.

Menurut saksi, mangsa yang mengambil upah mengangkat barang di terminal tersebut terjatuh ke dalam sungai semasa mengangkat barang dari sebuah bot ekspres.

Sehingga berita ini ditulis semalam, gerakan mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Advertisement