Anda di sini

Membongkar sejarah penempatan awal masyarakat Vaie Segan dan kubur lama di Bintulu

Advertisement

Bahagian 1

 Osman Din di sisi kubur moyangnya Bahdar Ali Khan
KUBUR MOYANG: Osman Din di sisi kubur moyangnya Bahdar Ali Khan

BADAN Warisan Sejarah dan Kebudayaan Vaie Bintulu (BAWARIS) terus giat melaksanakan kerja dan usaha-usaha mereka membongkar serta membuat kajian sejarah-sejarah lama terutamanya membabitkan asal-usul penempatan awal masyarakat Vaie Segan di Bintulu.

Sebahagian daripada usaha-usaha besar itu telah direkodkan oleh BAWARIS sebagai sebahagian daripada sejarah penting Bintulu dan usaha terbaharu yang dilakukan oleh BAWARIS ialah pada 1 Mei lalu dengan menganjur Ekspedisi Vaie Segan 2017 ke dua kawasan penempatan tanah perkuburan Islam lama di Sungai Segan dan Sungai Sebed.

Rombongan ekspedisi itu turut disertai oleh ahli-ahli Bintulu Visual Arts Community (BVC) dan peminat sejarah tempatan yang melakukan eksplorasi membuat kajian warisan sejarah silam yang berkait rapat dengan sejarah tempatan khususnya kewujudan masyarakat Vaie Segan.

Ekspedisi kerja itu menyusuri Sungai Kemena dengan menggunakan pengangkutan bot bergerak menuju ke destinasi pertama mereka ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Seruwey di Kampung Kuala Segan. Banyak kubur-kubur lama ditemui

di kawasan tersebut yang membuktikan telah wujud penempatan awal masyarakat di kawasan itu.

Pengerusi BAWARIS, Kairulnieza Waynie yang mengetuai ekspedisi tersebut berkata, kawasan perkuburan itu mendapat namanya daripada sejenis tumbuhan menjalar dikenali

sebagai ‘Semalu’ atau bahasa tempatannya ‘Seruwey’.

“Perkuburan Islam Bukit Seruwey tersebut merupakan antara kawasan perkuburan tertua di Bintulu,” jelasnya.

“Seorang penulis sejarah tempatan, Ibrahim Saad

pernah menjumpai kayu nisan yang bertarikh 1283 Hijrah (1862 Masihi) di kawasan itu dan dicatat oleh beliau dalam bukunya berjudul ‘Kisah Bintulu’.

“Terdapat beberapa nisan lama yang bersaiz besar juga ditemui di kawasan itu, pada nisan itu masih dapat dilihat catatan tulisan jawi, namun banyak bahagian nisan yang telah reput,” ujarnya.

Beliau berkata, perkuburan Islam itu dipercayai telah wujud seawal abad ke-18 sebelum kedatangan Raja Brooke ke Sarawak.

“Ada cerita daripada masyarakat setempat yang mengatakan makam seorang kerabat Kesultanan Brunei terdapat di Tanah Perkuburan Islam Seruwey tersebut.

“Kisah itu kini menjadi bahan kajian pihak BAWARIS khususnya berkaitan sejarah kedatangan Islam ke Bintulu,” tambahnya.

Selain itu katanya, destinasi kami seterusnya adalah ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Sungai Sebed yang memakan masa perjalanan 15 minit dengan bot melalui Sungai Segan ke kawasan Sungai Sebed.

“Kawasan tanah perkuburan Islam Sungai Sebed ini agak terpencil dan ia berada di kaki sebuah bukit,” jelasnya.

 Kairulnieza (dua kanan) bersama ahli-ahli BAWARIS, BVC dan mereka yang terlibat dalam ekspedisi bergambar di kubur lama yang ditemui.
KAJI SEJARAH: Kairulnieza (dua kanan) bersama ahli-ahli BAWARIS, BVC dan mereka yang terlibat dalam ekspedisi bergambar di kubur lama yang ditemui.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa BAWARIS, Osman Din berkata, terdapat hanya tujuh kubur di kawasan itu dan moyang saya yang telah dikebumikan di situ ialah Mejar Bahdar Ali Khan sekitar tahun 1945 sewaktu zaman pendudukan Jepun.

Katanya, kisah hidup Allahyarham Mejar Bahdar Ali Khan ada tercatat di dalam Muzium Polis di Kuching.

Melalui penemuan kubur-kubur lama tersebut menyatakan dengan jelas kemungkinan terdapatnya sejarah-sejarah penting yang terkandung dan tersimpan yang tidak diketahui oleh masyarakat umum.

Ia khusus memfokus kepada sejarah Bintulu itu sendiri yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan dan penempatan terpencil namun kini telah mengalami perubahan besar dan membangun dengan pesat sejak penemuan minyak dan gas pada tahun 1971 iaitu sekitar 46 tahun lalu sehingga mampu menjadi penyumbang besar dalam menjana ekonomi negeri dan negara.

(Bersambung)

  • oleh
  • Advertisement