Anda di sini

Macau Scam: 26 ditahan di Melaka

Advertisement
 Ruslan (tengah) bersama Baddrulhisham (kanan) dan Mohamad Lufti (kiri) menunjukkan peralatan yang dirampas berikutan kejayaan menumpas sindiket macau scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) semalam. — Gambar Bernama
HASIL RAMPASAN: Ruslan (tengah) bersama Baddrulhisham (kanan) dan Mohamad Lufti (kiri) menunjukkan peralatan yang dirampas berikutan kejayaan menumpas sindiket macau scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Seramai 26 individu termasuk seorang rakyat tempatan ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ dalam serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Ayer Keroh di sini, Jumaat lepas.

Dalam operasi jam 1.50 petang itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan sembilan lelaki dan 12 wanita China, tiga lelaki dan seorang wanita Taiwan serta seorang lelaki tempatan yang berusia antara 18 dan 51 tahun.

Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Datuk Ruslan Hassan berkata, serbuan dilakukan di rumah banglo berkenaan yang dipercayai dijadikan sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan lepas bagi kegiatan kumpulan itu dan menyasarkan rakyat Malaysia dan Hong Kong sebagai mangsa.

“Ketika serbuan dilakukan, rata-rata mereka sedang leka membuat panggilan kepada mangsa dan tidak sempat melarikan diri.

“Turut dirampas sebuah kereta Toyota Alphard, komputer riba, 37 telefon bimbit dan talian tetap, modem, pencetak, fail dokumen skrip bagi tujuan penipuan, walkie-talkie dan wang tunai RM2,100,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 48 kes penipuan pada tahun lepas dan 52 kes pada empat bulan pertama tahun ini, membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM15 juta.

Menjelaskan modus operandi kumpulan itu, Ruslan berkata suspek menggunakan pelbagai kaedah antaranya menghubungi mangsa dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dan mangsa yang ingin menebus hadiah perlu memasukkan sejumlah wang sebagai bayaran cukai atau insurans ke dalam akaun bank pihak ketiga.

Katanya, suspek turut menyamar sebagai pegawai mahkamah atau polis dan menghubungi mangsa memaklumkan mereka terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long atau kongsi gelap dan meminta memindahkan wang ke akaun bank lain bagi mengelakkan harta itu disita.

“Selain itu, suspek akan membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bil kad kredit yang perlu diselesaikan, kemudian mereka diminta membayar hutang berkenaan bagi mengelakkan nama mereka disenarai hitam,” katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati 25 suspek warga asing itu masuk ke negara ini menggunakan pas pelawat dan kesemua individu berkenaan kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Ruslan turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon dan mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, pasport dan akaun bank kepada individu yang tidak dikenali. — Bernama

Advertisement