Anda di sini

‘Datuk’ didakwa lupus 10.2 juta unit saham

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemegang saham syarikat perniagaan tekstil bergelar ‘Datuk’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat pertuduhan melupuskan 10.2 juta unit saham sekuriti Maxbiz Corporation Berhad (Maxbiz), tujuh tahun lepas.

Datuk Leong Wye Keong, 62, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melupuskan 2.1 juta unit saham sekuriti Maxbiz yang dipegang dalam akaun Sistem Depositori Pusat milik seorang lelaki, Leong Khai Shaun, 33, yang mempunyai maklumat yang tidak boleh didapati secara umum terhadap harga atau nilai sekuriti tersebut.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Wye Keong dituduh melupuskan 8.1 juta unit saham sekuriti serupa miliknya dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 30 Dis 2010 dan 18 Jan 2011.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 188(4) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Aimi Khalidah Mohd Puzi menawarkan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah memohon jaminan RM400,000 tetapi dengan syarat pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah.

“Tertuduh memerlukan pasport berkenaan bagi berulang-alik ke Sarawak untuk urusan perniagaannya,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM600,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement