Anda di sini

SUPP, UPP perlu lupakan sengketa demi kemenangan BN di Pujut

Advertisement

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) perlu melupakan persengketaan dan bersatu hati demi kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut, pada 4 Julai nanti.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata umum mengetahui bahawa kerusi Pujut merupakan kubu kuat Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Justeru katanya, BN perlu meletakkan calon yang paling berpotensi untuk menang serta dekat di hati rakyat terutama pengundi dalam kawasan Pujut.

Seperti kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga pengerusi BN Negeri, Pilihan Raya Kecil ini merupakan satu tugas yang sukar bagi BN.

Namun, peluang untuk BN menang masih ada jika kedua-dua parti iaitu SUPP dan UPP saling berkompromi antara satu sama lain dan bersatu bagi menghadapi pencabar mereka iaitu DAP,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Dr Awang, PRK ini akan memberi impak yang besar kepada kedua-dua pihak sama ada BN mahupun pembangkang.

Sebaiknya, PRK Pujut ini harus dielakkan daripada berlaku dan penyelesaian terbaik adalah menerusi mahkamah.

Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah, pilihan raya ini akan memberi kesan kepada populariti Ketua Menteri kita jika BN kalah dan menjejaskan momentum BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” tambahnya.

Jelas Dr Awang lagi, kedua-dua parti iaitu SUPP dan UPP perlu sedar musuh politik mereka adalah DAP dan bukan bermusuhan antara satu sama lain.

Jika kedua-dua parti iaitu SUPP dan UPP masing-masing sudah ada nama calon yang paling berpotensi mereka harus memilih seorang daripada calon-calon ini yang akan menentukan nasib BN di Pujut.

Tidak kira sama ada calon itu daripada SUPP atau UPP tetapi calon tersebut haruslah yang dapat membawa dan menyelesaikan pelbagai isu seperti pendidikan Cina, menangani peningkatan kos sara hidup, memperjuangkan hak autonomi dan tuntutan royalti yang semakin kurang kedengaran.

Isu-isu seperti ini jika tidak diselesaikan boleh digunakan sebagai modal politik DAP untuk menewaskan BN,” ujarnya.

Advertisement