Anda di sini

Program Bubur Lambuk dan Bubur Pedas anjuran DBKU mendapat sambutan

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 22 Kampung Kejiranan Mesra di sini akan terlibat dalam Program Bubur Lambuk dan Bubur Pedas anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sempena bulan Ramadan ini.

Selain memasak bubur lambuk dan bubur pedas untuk diagihkan, program tersebut turut diselitkan dengan penyampaian sumbangan khususnya kepada orang miskin, memerlukan dan kurang bernasib baik.

Malah, ia telah mendapat tajaan daripada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) sebanyak RM8,500, Maggi yang menyumbang serbuk secukup rasa, ‘fishtail’, apron dan menyediakan kios untuk memasak bubur yang berjumlah RM5,000, BERNAS yang menyumbang satu tan beras bernilai RM4,000, SEDC menyumbang baucar bernilai RM1,000 bagi pembelian daging/ayam segar serta Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menyumbang wang tunai RM3,000.

Selain itu, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) turut menyumbang wang tunai RM3,000, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyumbang kontena untuk bubur sebanyak 2,000 unit yang bernilai RM2,000, FAMA menyumbang cenderamata serta perencah bernilai RM2,000 serta MYDIN menyumbang baucar bernilai RM3,000.

Pelancaran program tersebut disempunakan oleh ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman di Masjid Darul Husni Warrahmah, Taman Tun Hussein dan turut disaksikan  Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Advertisement