Anda di sini

Lelaki Indonesia dibunuh kerana tuntut hutang

Advertisement

LABUAN: Polis menahan seorang nelayan tempatan berusia 54 tahun kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki warga Indonesia kerana masalah hutang berjumlah RM500 di Kampung Tanjung Aru di sini, semalam.

Ketua Polis Labuan Superintenden Adzhar Othman berkata dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa Yahudin Sahib, 54, telah pergi ke rumah suspek untuk menuntut hutang sebelum tercetus pergaduan.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan objek tumpul untuk mencederakan mangsa di bahagian muka dan beberapa bahagian lain serta darah keluar melalui mulut mangsa.

Katanya, jiran berdekatan mendengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum menemui mangsa terlantar di lantai rumah suspek.

Hasil siasatan mendapati mangsa dipukul dengan objek tumpul dan suspek ditahan di lokasi kejadian, katanya.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ditahan reman sehingga 3 Jun depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

Advertisement