Anda di sini

Dua nelayan bebas selepas ditahan kerajaan Indonesia

Advertisement

KUALA NERUS: “Syukur Alhamdulillah! Akhirnya kami selamat dan dapat berpuasa bersama keluarga tahun ini. Tak sangka (kami) akhirnya dibebaskan selepas lebih sebulan ditahan di Indonesia.”

Itu antara luahan Mohd Fadly Jaafar, 40, seorang daripada dua nelayan dari Seberang Takir, dekat sini yang dibebaskan setelah ditahan lebih sebulan lalu bersama tiga nelayan lain oleh kerajaan Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu.

Ketibaan Mohd Fadly dan rakannya, Abdul Halim Nik, 43, di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin menjadi lebih bermakna apabila turut disambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selain anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Mengingatkan detik penahanan itu saya rasa serik untuk ke laut menangkap ikan, namun itulah punca rezeki kami. Kalau boleh selepas ini tidak mahu ke laut...buat masa ini saya ingin berehat seketika sebelum kembali bekerja,” katanya

Mohd Fadly yang juga sudah 23 tahun menjadi nelayan ketika ditemui pemberita berkata, pengalaman ditahan di negara orang merupakan perasaan yang sukar digambarkan kerana sering memikirkan nasib keluarga, isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sementara itu, Abdul Halim berkata pengalaman ditahan kali kedua ini membuatkannya untuk lebih berhati-hati apabila menangkap ikan di laut dan berjanji akan menggunakan teknologi yang ada bagi mengelak perkara sama berulang.

Sebelum ditahan kami sudah empat hari di laut dan dijadualkan kembali ke jeti pada esoknya, namun kami tidak sedar telah melepasi sempadan Indonesia.

15 tahun lepas saya pernah ditahan, kini saya berharap abang saya (Rashid), yang juga tekong bot dapat dibebaskan dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat,” katanya.

Tiga lagi yang masih ditahan ialah Mohd Zaidi Mohammad, 23 dan Abdul Rashid Nik, 52, dari Kampung Seberang Takir serta Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman.

Difahamkan Mohd Zaidi dan Firdaus sudah dibebaskan tetapi ditahan sementara untuk dijadikan saksi perbicaraan Abdul Rashid.

Pada 8 April lalu, lima nelayan terbabit bersama seorang awak-awak warga Thailand ditahan pasukan Tentera Laut Indonesia ketika berada pada jarak lima batu nautika melepasi sempadan perairan antarabangsa kira-kira jam 11.30 pagi.

Pembebasan nelayan berkenaan adalah hasil rundingan kerajaan negeri menerusi UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebaik mereka ditahan April lepas.

Sementara itu, Ahmad Razif mengingatkan golongan nelayan agar lebih berhati-hati ketika menangkap ikan di laut dan menggunakan kemudahan teknologi agar tidak melepasi perairan negara lain.

Proses membebaskan nelayan yang ditahan bukan mudah, jadi mereka perlu lebih peka dan berhati-hati sepanjang berada di laut,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melakukan rundingan bersama kerajaan Indonesia bagi meminimakan hukuman kepada tekong bot yang masih ditahan di negara itu. — Bernama

Advertisement