Anda di sini

BN berpeluang menangi kembali DUN Pujut

Advertisement

Dengan syarat semua parti komponen BN bergerak sebagai sebuah pasukan, kata Fadillah 

KUCHING: Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk memenangi kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut jika semua parti komponen BN bergerak sebagai sebuah pasukan.

Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata meskipun Pujut merupakan kubu kuat DAP tetapi tidak mustahil untuk BN memenanginya kembali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 Julai nanti.

Yang penting kita hendaklah bersatu dan senada seirama dalam gerak kerja kita untuk meyakinkan pengundi dan rakyat Pujut bahawa BN dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negeri.

Inilah mesej yang harus kita sampaikan dan buktikan kepada rakyat di Pujut khasnya dan juga seluruh negeri dan negara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Matang Jaya 2017 di sini, semalam.

Bazar tersebut merupakan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Matang Jaya Zon A dengan kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPP), CCK dan Matang Mall.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang yang juga pengerusi MPP, Ahli Dewan Negara Senator Dr  Zaiedi Suhaili serta yang lain.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya turut berharap kedua-dua parti iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan dapat berkompromi dalam pemilihan calon yang akan bertanding mewakili BN nanti.

Di peringkat Pemuda amnya jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),  kita sudah pun bersedia menghadapi PRK Pujut walaupun pengundi Bumiputera tidak ramai.

Kita akan membantu mana-mana calon dan parti yang bertanding nanti terutama SUPP untuk memastikan kemenangan BN kali ini.

Ini amat penting untuk memastikan gerak kerja kita seperti juga di PRK Tanjong Datu dulu untuk kita pastikan jentera kita bergerak sebagai satu BN,” ujarnya sambil menambah, jentera Pemuda BN dan PBB di Miri telah memulakan gerak kerja.

Meskipun berhadapan dengan pencabar yang sukar pada PRK Pujut ini, namun BN tidak perlu mengimport jentera daripada rakan-rakan BN di Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya menurut Fadillah, semua program dan kempen akan diketuai oleh parti-parti komponen BN di peringkat negeri.

  • oleh
  • Advertisement