Anda di sini

Berjimat beli juadah

Advertisement
 Suasana di Bazar Ramadan Stutong sebaik sahaja beroperasi semalam.
JADI TUMPUAN: Suasana di Bazar Ramadan Stutong sebaik sahaja beroperasi semalam.
 Masyarakat Islam mula membeli juadah untuk berbuka puasa di Bazar Ramadan Satok.
SIBUK: Masyarakat Islam mula membeli juadah untuk berbuka puasa di Bazar Ramadan Satok.

   Masyarakat Islam kini lebih berhemah berbelanja ketika bulan Ramadan.

KUCHING: Sikap berbelanja berlebih-lebihan ketika bulan Ramadan kian terhakis dalam diri masyarakat Islam.

Malah, masyarakat Islam kini lebih mengambil sikap berjimat cermat ketika berbelanja terutama semasa membeli juadah untuk berbuka bagi mengelak pembaziran sepanjang bulan Ramadan ini.

Tinjauan Utusan Borneo di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini semalam mendapati majoriti masyarakat Islam mengambil pendekatan berjimat ketika membeli juadah berbuka.

Begitu juga golongan peniaga di bazar Ramadan yang hanya menjual juadah yang laris sahaja bagi mengelak pembaziran atau barang jualan tidak laku.

Menurut Abdul Rahman Kiprawi, 73, bersama isterinya, Hariah Simpo, 59, dari Kampung Malaysia Jaya, pembaziran akan berlaku sekiranya gagal mengawal hawa nafsu makan terutama ketika bulan Ramadan ini.

"Kebiasaannya apabila berpuasa kita memang ingin makan itu, makan ini tetapi bagi saya yang sudah berusia ini, hanya membeli makanan mengikut ala kadar sahaja.

"Saya bersama isteri membeli apa (makanan) yang kami dapat makan sahaja supaya tidak berlaku pembaziran atau dibuang jika tidak habis dimakan," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Satok di sini semalam.

Pendapat yang sama turut dilontarkan Mumin Sulong, 56, dari Tabuan Park yang memberitahu bahawa dia mengambil peluang untuk berjimat cermat ketika berbelanja setiap kali tibanya Ramadan.

"Pada bulan inilah kita dapat berjimat cermat kerana tidak perlu berbelanja atau beli makanan untuk sarapan pagi dan tengah hari," tambahnya.

Kata Mumin lagi, amalan berjimat perlu ada dalam diri setiap masyarakat Islam agar tidak berlaku pembaziran ketika membeli juadah berbuka.

"Jika kita gagal mengawal nafsu makan sudah tentu kita akan beli pelbagai jenis juadah makanan sehingga kita sendiri tidak larat untuk makan dan akhirnya dibuang begitu sahaja," tegasnya.

Begitu juga pandangan seorang peniaga di Bazar Ramadan Satok, Hassuzaila Abdul Chik, 39, dari Kampung Kudei yang menyatakan bahawa dia hanya mengeluarkan modal sekitar RM400-RM500 untuk memulakan perniagaannya di bazar itu.

Jelasnya, kebanyakan kuih-muih yang terdapat di gerai jualannya diambil dari penjual kuih lain.

"Saya hanya mengambil upah menjual kuih-muih orang dan tidak membuat barang jualan secara berlebih-lebihan kerana takut tidak laku," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Bazar Ramadan Stutong Rahnah Arum, 38, berkata, dia hanya mengambil upah menjual minuman di situ.

"Kita jual ikut had dan tidak berlebih-lebih kerana takut tidak habis dijual.

"Untuk juadah berbuka puasa pun saya beli mengikut kemampuan sahaja agar tidak membazir," ujarnya.

Malah, Rahnah yang ditemani anak saudaranya Siti Maisarah Musaddat dan Muhd Afiq Mat Salleh berkata, ditambah pula pendapatan tidak menentu suaminya yang bekerja sendiri, sudah tentu amalan berjimat penting diamalkan.

"Kita beli apa yang patut sahaja, makan pun ikut apa yang diperlukan sahaja," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement