Anda di sini

Masih awal umum nama

Advertisement
 Abang Johari melakukan simbolik perasmian Bazar Ramadan Satok semalam. Turut kelihatan (dari dua kiri) Fatimah, Dr Sim dan Abang Abdul Wahap.
RASMI: Abang Johari melakukan simbolik perasmian Bazar Ramadan Satok semalam. Turut kelihatan (dari dua kiri) Fatimah, Dr Sim dan Abang Abdul Wahap.

   KM sahkan SUPP dan UPP masing-masing sudah hantar senarai nama calon bertanding PRK Pujut.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) masing-masing telah menghantar senarai nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, semalam.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, masih terlalu awal untuk beliau mendedahkan senarai nama calon-calon yang disyorkan oleh kedua-dua parti tersebut.

Senarai sudah ada tetapi kita akan umum nanti kerana hari penamaan calon masih lama iaitu pada 20 Jun.

Sejujurnya, PRK Pujut ini merupakan satu tugas berat bagi BN, tetapi kami rasa boleh menang,” kata Abang Johari kepada pemberita semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Pujut adalah pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun.

Pilihan raya itu diadakan susulan kekosongan kerusi tersebut ekoran pelucutan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon dari DAP sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, baru-baru ini.

Terdahulu, Abang Johari hadir merasmikan Bazar Ramadan Satok yang dibuka kepada warga kota selama sebulan bermula semalam.

Bazar Ramadan itu merupakan satu daripada tujuh lokasi yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi memudahkan warga kota membeli juadah berbuka puasa.

Tahun ini pihak DBKU telah menambah bazar Ramadan di tujuh lokasi untuk memberi lebih banyak pilihan serta keselesaan kepada peniaga dan juga pengunjung.

Nasihat saya, peniaga harus menjaga kebersihan dan menjual makanan yang bersih dan sihat kepada pengunjung pada harga yang berpatutan,” katanya.

Tapak bazar Ramadan itu merupakan antara yang tertua diwujudkan sejak 29 tahun lalu.

Selain Satok, pengunjung juga boleh mendapatkan juadah berbuka puasa di lokasi lain seperti Semarak yang menjual pelbagai aneka juadah seperti kuih-muih, bubur pedas, botok, ikan panggang, sate dan banyak lagi termasuk pelbagai pilihan air minuman.

Pada majlis ringkas itu semalam, Abang Johari turut mengagihkan bubur pedas dan bubur lambuk secara percuma kepada para pengunjung.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah serta Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

  • oleh
  • Advertisement