Anda di sini

Jumlah ketibaan pelancong AS di Malaysia dijangka meningkat kembali suku kedua 2017

Advertisement

NEW YORK: Beberapa faktor menjadi penyumbang kepada penurunan jumlah ketibaan rakyat Amerika Syarikat (AS) di Malaysia pada suku pertama 2017, tetapi  Tourism Malaysia yakin keadaan itu akan bertambah pada suku kedua tahun ini.

Secara umumnya, mungkin suasana politik tidak menentu dan penularan keganasan oleh puak ekstremis di beberapa rantau menjejaskan semangat rakyat AS untuk membuat perjalanan ke luar negara, tetapi dalam kes Malaysia, masalah sebenarnya mempunyai kaitan dengan ketiadaan penerbangan terus antara AS dan Malaysia.

Malaysia Airlines menamatkan penerbangan terusnya ke pantai timur dan barat AS sejak beberapa tahun lepas, sedangkan pelancong AS lebih suka menggunakan penerbangan terus ke destinasi mereka.

Walaupun ada syarikat penerbangan menawarkan penerbangan ke Malaysia melalui hub di negara asal masing-masing seperti Singapore Airlines, Emirates, Qatar dan sebagainya, tetapi penumpang yang menggunakannya perlu menghabiskan masa menunggu perjalanan seterusnya di hub tuan rumah syarikat penerbangan berkenaan,” kata, David Andrews, seorang perunding pelancongan pantai timur, yang sering mengumpul maklumat mengenai trend pelancongan, kepada Bernama.

Sementara itu, dalam wawancara dengan Bernama, naib presiden pejabat Tourism Malaysia New York Ahmad Johanif Mohd Ali, berkata berdasarkan data yang diterima daripada ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, jumlah ketibaan dari AS bagi tempoh Januari-Mac 2017 menurun 12.9 peratus kepada 52,237, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil juga menurun dalam suku pertama 2017 iaitu sebanyak 10.9 peratus kepada RM 0.16 bilion.  AS menduduki tangga ke-14 dalam kalangan 15 negara yang rakyatnya paling banyak melawat Malaysia pada suku pertama 2017.  Sepuluh negara yang rakyatnya paling banyak mencatat ketibaan di Malaysia ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Jepun, U.K. dan Australia.

Johanif bagaimanapun berkata, berdasarkan senarai tempahan tiket penerbangan untuk ke Malaysia pada suku kedua Jun-Ogos 2017, jumlah ketibaan dari AS diramalkan berkembang lebih 14 peratus daripada jumlah pada suku pertama sebelumnya.

Ia bermakna kami akan mencatat pemulihan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Perangkaan mengenai ketibaan dari AS pada April menunjukkan  bahawa trend penurunan itu telah diperbaiki melalui pertumbuhan sebanyak 9.5 peratus.

Johanif, yang dijangka kembali bertugas di ibu pejabat Tourism Malaysia Kuala Lumpur setelah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai naib presiden pejabat Tourism Malaysia New York, juga sedang sibuk dengan urusan penutupan pejabat berkenaan sebagai langkah penjimatan kos.

Syarikat perjalanan dan pelancongan di pantai timur berharap mereka akan mendapat sokongan secukupnya daripada Tourism Malaysia untuk memenuhi minat pengembara dari pantai timur untuk melawat Malaysia.

Ya, kami akan tutup pejabat New York. Keputusan ini dibuat ibu pejabat kami sebagai langkah penjimatan. Bagaimanapun, pejabat kami di Los Angeles akan terus berfungsi dan bertanggungjawab bagi seluruh Amerika dan rantau lain di dunia sebelah sini.

Timbalan saya di pejabat New York, Ednie Rahma Ab Rahim, akan ditukarkan ke pejabat Los Angeles, yang akan turut mengadakan semua aktiviti promosi di pantai timur, termasuk menyertai pameran perdagangan berkaitan pelancongan dan acara lain.

Kami akan kekalkan perancangan kami mengenai pantai timur dan akan terus menyertai pameran perdagangan di sini melalui pejabat kami di Los Angeles.  Di samping itu, konsul jenderal di New York dan pejabat perwakilan di sini akan terus membantu dalam aktiviti mempromosi pelancongan,” kata Johanif. — Bernama

Advertisement