Anda di sini

SMK Pekan Nabalu dibina di tapak baharu

Advertisement
 Mahdzir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau serta Ahli Dewan Undangan Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bersama para pelajar SK Giuk ketika melakukan lawatan ke sekolah itu semalam. — Gambar Bernama
LAWAT: Mahdzir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau serta Ahli Dewan Undangan Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bersama para pelajar SK Giuk ketika melakukan lawatan ke sekolah itu semalam. — Gambar Bernama

TUARAN: Sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) akan dibina berdekatan kaki Gunung Kinabalu di daerah ini bagi menggantikan SMK Pekan Nabalu yang terpaksa dihentikan pembinaannya atas faktor keselamatan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata satu tapak baharu telah dikenal pasti tidak jauh dari tapak asal selepas Jabatan Mineral dan Geosains mengisytiharkan tapak asal itu, yang terletak di lereng bukit berdekatan kaki Gunung Kinabalu, tidak selamat.

“Kementerian akan membina SMK ini di Kampung Giok bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Giok selepas lulus semua kajian dan ujian, termasuk dari segi keselamatan bentuk muka buminya.

“Buat masa sekarang, kami (kementerian) sedang dalam proses penyerahan tanah adat oleh lima pemilik (daripada 15 pemilik) di Kampung Giok kepada kerajaan sebelum kita boleh teruskan dengan rekaan sekolah dan kos yang diperlukan.

“Nama untuk SMK ini juga akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak asal dan baharu sekolah itu di sini semalam.

Mahdzir berkata tapak baharu itu meliputi kira-kira 9.3 hektar dan akan menampung keperluan murid-murid di 15 SK di sekitar.

Menurutnya, projek pembinaan sekolah di tapak asal, yang meliputi lebih lapan hektar itu, bermula pada 2012 dan terpaksa dihentikan pada 2014 dengan kira-kira 20 peratus daripada kos RM35 juta telah dibelanjakan.

Terdahulu, Mahdzir melawat SK Mengkabong dekat sini yang menjadi sekolah perintis Pembelajaran Sains Secara Inkuiri (IBSE).

Menurutnya, program itu yang dijalankan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan untuk pembelajaran sains dengan mudah dan menarik minat murid dengan guru-guru dilatih di sebuah institusi di Perancis.

Sementara itu, Menteri MOSTI Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga ahli Parlimen kawasan Tuaran, berharap pembinaan SMK baharu itu dapat dimulakan dan disiapkan secepat mungkin, sekali gus menyelesaikan masalah ketiadaan sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan.

“Tanpa sebuah sekolah menengah di kawasan ini akan membebankan murid yang tamat sekolah rendah untuk mencari sekolah menengah berdekatan untuk meneruskan persekolahan,” katanya. — Bernama

Advertisement