Anda di sini

Kes dua wanita dituduh edar dadah ditangguh hingga 31 Mei

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menangguhkan sehingga 31 Mei ini untuk sebutan lanjut kes dua wanita termasuk seorang guru tadika yang dituduh mengedar dadah.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Lily Kunyang, 34, dari Lorong Intan 6, Vista Perdana dan Freska Musa, 32, dari Jalan Camar, Lutong Baru telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan sementara, kedua-dua tertuduh telah didakwa mengedar dadah disyaki jenis syabu seberat 53.55 gram (berat kasar).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 1 petang, 13 Februari lalu di tempat letak kereta berhampiran belakang sebuah kedai dobi di Permyjaya.

Advertisement