Anda di sini

Ditahan di parkir kereta disyaki terlibat dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Tangkapan ke atas suspek dibuat polis di tempat letak kereta, Pusat Komersial Taman Jelita, Taman Tunku, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, suspek ditahan sejurus meletak kereta pada parkir di pusat komersial itu.

Siasatan pada suspek menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu pada seluar suspek.

Oleh itu, dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.45 gram dirampas dijadikan barang kes.

Pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah di sisi undang-undang.

Berikutan itu, suspek berusia 32 tahun dari Jalan Chin Syn Yu, Krokop kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Siasatan polis turut mendapati suspek mempunyai jenayah lampau dan pernah disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek yang kemudiannya ditangkap ini disiasat di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement