Anda di sini

7 geng jenayah tumpas

Advertisement
 Abang Ahmad menyematkan pangkat kepada seorang pegawai yang dinaikkan pangkat pada majlis itu.
TAHNIAH: Abang Ahmad menyematkan pangkat kepada seorang pegawai yang dinaikkan pangkat pada majlis itu.

KUCHING: Tujuh kumpulan sindiket jenayah yang aktif di sekitar Daerah Kuching berjaya ditumpaskan dalam tempoh Januari hingga semalam.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai yang memberitahu enam daripada tujuh kumpulan sindiket tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) melibatkan seramai 18 suspek.

Beliau menjelaskan, sindiket itu melibatkan kes samun atau rompak, pecah rumah dan curi, curi kabel, curi kereta dan curi motosikal.

“Kejayaan menumpaskan kumpulan sindiket ini mengurangkan kadar jenayah serta membawa kepada penyelesaian kes jenayah yang telah dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Padang Kawad IPD di sini, semalam.

Malah, Abang Ahmad berkata, dengan tumpasnya kumpulan sindiket jenayah berkenaan telah berjaya menyelesaikan 45 peratus kes yang dilaporkan.

“Kita percaya usaha kita selama ini berbaloi, operasi bersepadu akan terus kita mantapkan melibatkan semua elemen IPD Kuching termasuk dengan kerjasama dari balai-balai berdekatan bagi memburu ‘serpihan’ kumpulan sindiket terbabit,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai satu lagi kumpulan sindiket yang telah ditumpaskan itu, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengumpul fakta kes yang boleh dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.

“Kita ada 60 hari untuk kita soal siasat dan kumpulkan fakta yang boleh mengaitkan mereka dalam kes jenayah berkenaan, katanya.

Menurutnya lagi, bagi kesalahan di bawah POCA, sesebuah kumpulan sindiket itu haruslah mempunyai rekod kes melebihi daripada tiga kes dan ke atas.

Dalam memerangi jenayah narkotik pula, sepanjang tempoh Januari hingga Mei, beliau memberitahu IPD Kuching telah merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai sebanyak RM1,137,372.

Pada masa sama, beliau menegaskan pihaknya juga kini berusaha meningkatkan integriti dalam kalangan anggota.

“Imej pasukan kita sedikit tercalar dengan beberapa insiden berkaitan integriti, walaupun pepatah menyatakan bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk, tetapi disebabkan nila setitik boleh mencemarkan susu sebelanga.

“Jangan kerana perbuatan segelintir habis semua terpalit lumpurnya. Menyedari hakikat ini, usaha meningkatkan integriti warga IPD Kuching merupakan satu agenda penting pada tahun ini,” tegasnya.

Pada perhimpunan itu, Abang Ahmad turut memakaikan pangkat kepada anggota yang dinaikkan pangkat.

  • oleh
  • Advertisement