Anda di sini

Guru galas tanggungjawab kritikal membina masa depan negara

Advertisement

SANDAKAN: Warga pendidik di negeri ini bertanggungjawab meningkatkan tahap ke-cemerlangan pelajar bagi memastikan taraf sosio-ekonomi rakyat turut dapat ditingkatkan.

Ahli Parlimen Kinabatangan Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata guru mesti bersedia menyingsing lengan menghadapi cabaran dalam kerjaya dan membuang sikap negatif seperti malas, ponteng, kerja tidak bertanggungjawab, tiada motivasi dan lain-lain lagi.

“Guru merupakan salah satu daripada golongan yang sentiasa dihormati dan dipandang mulia sepanjang zaman. Guru harus menjadi ikon dan teladan baik kepada masyarakat secara amnya dan para pelajar khasnya.

“Pelajar menghabiskan masa seharian sekurang-kurangnya enam jam sehari bersama guru dan sebab itulah pelajar percaya dan bergantung kepada guru untuk menjadi ahli yang berguna dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Guru 2017 dan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2016) Peringkat Daerah Kinabatangan di Ballroom Sanbay Hotel, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 78 guru sekolah rendah dan menengah daerah Kinabatangan menerima sijil APC sebagai pengiktirafan pencapaian mereka sepanjang tahun lalu.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan menegaskan kerjasama antara guru dan ibu bapa juga adalah penting bagi memerhatikan gejala yang tidak baik dan sekali gus membendung masalah sosial dalam kalangan pelajar.

Beliau berharap agar guru-guru lebih cemerlang selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan setiap pelajar.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua guru yang berusaha mendidik pelajar sehingga memperolehi kejayaan dalam apa juga bidang mereka ceburi. Terima kasih guru,” katanya.

Mengenai prasarana pendidikan di Kinabatangan, beliau mengakui masih banyak lagi prasarana yang perlu ditingkatkan.

Beliau telah bertemu dengan Menteri Pendidikan dan Ketua Setiausaha bagi membincangkan jurang prasarana pendidikan di luar bandar terutamanya di Kinabatangan dan dalam bandar.

Beliau meminta kepada pihak kementerian bagi menyelesaikan jurang prasarana pendidikan itu di mana Kinabatangan masih memerlukan lebih banyak prasarana pendidikan yang lebih baik.

“Kita mahu kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memberi perhatian khusus dalam menyediakan prasarana pendidikan yang seimbang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Bung akan terus berusaha memastikan kepentingan pendidikan di Kinabatangan juga mendapat keseimbangan prasarana dengan pembangunan pendidikan yang baik seperti di bandar.

“Usaha ini saya lakukan tanpa henti bagi memastikan intitusi pendidikan di daerah ini berkembang dan mampu melahirkan generasi cemerlang,” katanya.

Beliau akan terus membantu Jabatan Pendidikan Daerah Kinabatangan dan sekolah-sekolah di daerah ini dalam apa juga program bagi membantu guru dan pelajar meningkatkan kecemerlangan.

Pada majlis itu, dua orang menerima Anugerah Tokoh Guru 2017 iaitu Muin Amil Amza dan Sabril Ludin.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan Suhaimi Othman, Timbalan PPD Hartawan Kanai dan pegawai kanan serta guru-guru.

Advertisement