Anda di sini

6 Jun tarikh tentu nasib empat tertuduh bunuh Bill Kayong

Advertisement

MIRI: Empat lelaki termasuk seorang ahli perniagaan bergelar datuk bakal mengetahui nasib masing-masing pada 6 Jun depan selepas Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh itu membuat keputusan berhubung kes tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Bill Kayong.

Manakala keempat-empat tertuduh diperintah supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Hakim Ravinthran N.Paramaguru turut menetapkan 14 hingga 16 Jun sebagai tarikh kesemua tertuduh membela diri jika ada bukti menunjukkan bahawa mereka terlibat dalam kes ini.

Terdahulu, selepas mendengar hujah lisan daripada kedua-dua belah pihak pendakwaan dan peguam bela, mahkamah dapati hujah pendakwaan hanya memfokus kepada tertuduh pertama didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta tidak menyebut tentang persubahatan tiga tertuduh lain dalam kes ini.

Berikutan itu, peguambela Orlando Chua, David Kuok dan Arthur Lee masing-masing memohon agar anak guam mereka dibenar dibebas dengan jaminan sementara menunggu keputusan kes.

Menurut Orlando, memandangkan dalam hujah pihak pendakwaan langsung tidak menyebut nama anak guamnya (tertuduh keempat), justeru beliau memohon agar tertuduh keempat dibenarkan dibebas dengan jaminan mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Permohonan sama turut dikemukakan oleh David dan Arthur namun ketiga-tiga permohonan itu telah ditolak oleh Ravinthran.

Tertuduh pertama, Mohamad Firtri Fauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun  2016 di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasaraya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tiga lagi tertuduh iaitu Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook , Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Seramai 28 saksi pendakwaan termasuk dua saksi yang digugurkan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula sejak 7 Mac lalu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fuad Abdul Aziz, dua saksi yang digugurkan itu mempunyai bukti langsung dalam kes ini namun terpaksa digugurkan kerana keterangan yang diberikan di dalam mahkamah semasa perbicaraan adalah bercanggih dengan kenyataan yang direkodkan pihak polis sebelum ini.

Dua saksi terbabit adalah Paul Boniface Apan dan Sim Chien Hui. Pendakwaan dilakukan TPR Mohd Fuad dan TPR Hayda Farizal Abu Hassan.

Advertisement