Anda di sini

Tiada ‘missing link’ dalam projek Jalan Kapit-Song-Kanowit

Advertisement

KANOWIT: Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa tiada ‘missing link’ dalam pelaksanaan projek Jalan Kapit-Song-Kanowit.

Jelasnya, kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan sesuatu projek malah melaksananya dengan teratur.

Bagi membina sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Ngemah, tender dibuat pada September ini.

Pelaksanaan Jalan Nanga Ngemah-Temalat sepanjang 9.6 kilometer, sekarang masih dalam tender dan kita akan berunding dengan kontraktor pada masa terdekat ini.

Jadi tiada wujud dengan ‘missing link’ sering diputar belit pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Jambatan Kanowit di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing telah menyempurnakan majlis tersebut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, ADUN Machan Allan Siden Gramong, ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong serta para kenamaan yang lain.

Sementara itu, beliau memberitahu, atas kegigihan ketiga-tiga wakil rakyat Kanowit iaitu Aaron, Alexander dan Allan membolehkan Jambatan Kanowit dibuka awal untuk digunakan umum sebelum Hari Gawai Dayak ini.

Dalam ucapan terdahulunya pada majlis tersebut, Nanta berkata satu sejarah tercipta apabila salah satu jajaran jalan akan menghubungkan Kanowit ke Kapit akan dibuka umum iaitu jambatan melintasi Sungai Kanowit.

Katanya projek jalan dan jambatan melintasi Sungai Kanowit ini merupakan projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pada tahun 2014 dengan kos keseluruhan berjumlah RM52 juta.

Projek ini merupakan sebahagian daripada jajaran jalan perhubungan Kanowit-Song-Kapit sepanjang 101.9 kilometer merupakan jalan raya utama pertama dibina bagi menghubngkan penduduk di Kanowit dan Kapit,” ujarnya.

Beliau turut memuji pihak kontraktor kerana telah berjaya menyiapkan projek tersebut awal daripada jadual yang sepatutnya.

Advertisement