Anda di sini

Tiga program bangun usahawan muda Sarawak

Advertisement
 Irwan Serigar ditemani Jaul (kiri) melihat kecekapan pelajar sekolah rendah mencipta dan menulis kod perisian aplikasi sempena program Coding@Schools di Borneo 744, Bintawa semalam.
TERTARIK: Irwan Serigar ditemani Jaul (kiri) melihat kecekapan pelajar sekolah rendah mencipta dan menulis kod perisian aplikasi sempena program Coding@Schools di Borneo 744, Bintawa semalam.

KUCHING: Tiga program inisiatif kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri di bawah satu platform kini dilancarkan di Borneo 744, Bintawa di sini.

Majlis prapelancaran tiga program itu disempurnakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, semalam.

Borneo 744 yang dibina di bekas tapak bengkel mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) berkeluasan 120,000 kaki persegi merupakan projek perintis bagi menyediakan ruang untuk usahawan dan anak muda tempatan memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

“Tiga program inisiatif kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri tersebut adalah Bandar Usahawan Lautan Biru (BOET) yang pertama diwujudkan di Malaysia, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang kedua ditubuhkan selepas Lembah Klang dan program Coding@Schools.

“Kesemua program ini disediakan di Borneo 744 yang mempunyai lima blok iaitu Blok A, B, C, D dan E menumpukan kepada lapan sektor atau fungsi utama melibatkan keusahawanan, seni persembahan, muzik, seni visual termasuk fotografi, seni kraf tangan, fesyen, filem dan penghasilan ‘start up’ serta sokongan,” kata Irwan Serigar ketika berucap pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut mengenai BOET, beliau berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan persekutuan dalam memperkukuh dan melengkapkan ekosistem keusahawanan nasional melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Program usaha sama Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri ini merupakan pemangkin kepada usahawan kreatif dan berpotensi untuk sentiasa berkembang dan maju ke peringkat lebih baik. Pada masa sama mampu menghidupkan semula sektor perindustrian di Bintawa ini,” tambahnya.

Mengenai Coding@Schools, katanya, ia program pengenalan untuk pelajar sekolah rendah mempelajari asas dan prinsip ‘coding’ secara praktikal dalam usaha menggalakkan inovasi dan keusahawanan di kalangan golongan muda.

“Para peserta Coding@Schools akan dilatih mengguna dan mempelajari asas ‘web programming’ seperti HTML, CSS dan Javascript yang membolehkan mereka mengembangkan kemahiran dalam mencipta dan menulis kod untuk perisian aplikasi.

“Program ini seterusnya dapat membantu membina kemahiran abad ke-21 peserta seperti menyelesaikan masalah, kreativiti, kolaboratif dan pemikiran komputasional,” jelas Irwan Serigar.

Bagi MaGIC pula, beliau memberitahu ia menyediakan ruang ‘start up’ kepada usahawan sedia ada untuk bekerja, belajar dan berkembang.

Pada masa sama, katanya, ia juga bertujuan memberikan Sarawak program pembangunan keusahawanan berkualiti dalam usaha menyokong penciptaan dan pembangunan bakal usahawan serta usahawan sosial di negeri ini.

“Usahawan baharu boleh mendapat manfaat daripada rangkaian yang ditubuhkan dengan ekosistem tempatan dan global yang membolehkan peluang perkongsian ilmu dan pengalaman yang lebih mudah serta pengembangan pasaran yang lebih luas,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Negeri Datu Jaul Samion, Pengarah Unit Strategi Kebangsaan Kementerian Kewangan Datuk Dr Aminuddin Hassim dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement