Anda di sini

OKU bukan halangan Stephen cabar diri sertai pertandingan sape

Advertisement
 Vicky menyampaikan hadiah kepada Stephen, selaku pemenang ketiga Pertandingan Sape GDB 2017, sambil disaksikan oleh Patrick (kanan).
TAHNIAH: Vicky menyampaikan hadiah kepada Stephen, selaku pemenang ketiga Pertandingan Sape GDB 2017, sambil disaksikan oleh Patrick (kanan).

KEADAAN diri kurang upaya tidak pernah mematah semangat Stephen Kayang Aloi mencabar pemain sape sedia ada malah beliau yakin kelebihan ada pada dirinya.

Katanya, kerap kali dalam pertandingan sape, dia tidak pernah dibeza, semua peserta tetap menganggap sebagai lawan pertandingan tidak boleh dipandang ringan.

“Saya gembira kerana kawan mahupun pesaing tidak melihat sebagai seorang OKU, mereka tidak peduli sebaliknya melihat sebagai pencabar mereka,” katanya kepada Utusan Borneo di Miri, baru-baru ini.

Stephen berkata demikian ketika ditemui selepas keputusan Pertandingan Sape GDB (Gawai Dayak Bazaar) 2017 anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS), di Miri.

Meskipun hanya menduduki tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil, namun Stephen berpuas hati, kerana usaha tersebut memberi peluang untuknya bertemu dengan pemain sape handal dan bersaing dengan mereka.

Pada pertandingan tersebut, Stephen memberitahu beliau memainkan lagu ‘Lansam’, merdu iaitu irama sape tradisional, menggunakan sape buatan tangan oleh beliau dan ayahnya.

Dalam pada itu, Stephen mahu agar pertandingan sape tersebut diteruskan pada penganjuran bazar Gawai Dayak yang akan datang.

“Saya amat gembira dan bangga dengan usaha GADS menganjur pertandingan seperti ini kerana memberi peluang kepada pemain sape pelbagai peringkat umur bertemu dan mempertandingkan bakat masing-masing.

“Besar harapan saya agar muzik sape ini dapat diketengahkan lagi ke peringkat lebih tinggi melalui pertandingan dan usaha yang dimulakan oleh GADS ini,” katanya sambil mengaku GADS adalah pertubuhan bukan kerajaan dan berasas Dayak pertama mengadakan pertandingan sape pada acara anjuran mereka, Gawai Dayak Bazaar.

“Saya juga berharap agar GADS, pada masa akan datang menganjur pertandingan dalam dua kategori berbeza iaitu sape kontemporari dan sape tradisional,” katanya.

Jelasnya, ini kerana kedua-duanya adalah berbeza dan sukar dipertandingkan dalam satu kategori.

Tambahnya, selain itu pertandingan sape juga boleh dibahagikan kepada peringkat umur, termasuk kanak-kanak.

Jika GADS boleh melakukan usaha seperti itu pada tahun-tahun akan datang katanya, GADS melalui GDB merupakan platform paling tepat dan penting mencungkil bakat serta memulihara muzik tradisi sape dalam kalangan generasi muda dan pada masa sama menimba pengalaman daripada generasi tua.

Sementara itu, pada pertandingan sape yang diadakan sempena GDB 2017 di Emart Riam, johan telah dimenangi oleh Aaron Alan Robert, sambil tempat kedua jatuh kepada Watson Tase’ Batu.

Kedua-dua mereka menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil.

Tempat keempat dan kelima masing-masing jatuh kepada Hazekiah Agam dan Garry Sudom Raymond.

Kedua-dua mereka menerima hadiah berupa hamper dan sijil.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh presiden GADS, Vicky Gulin Shandom dan pengerusi penganjur GDB 2017, Patrick Uban.

  • oleh
  • Advertisement