Anda di sini

BN yakin tawan Pujut

Advertisement
 Mohd Hashim (kanan) menunjukkan peta DUN Pujut semasa mengumumkan tarikh PRK bagi kerusi DUN tersebut di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya semalam.
DI SINI: Mohd Hashim (kanan) menunjukkan peta DUN Pujut semasa mengumumkan tarikh PRK bagi kerusi DUN tersebut di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya semalam.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri yakin dapat menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan pada 4 Julai nanti.

Malah, Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, jentera BN juga sudah bersedia untuk menghadapi PRK Pujut sebaik sahaja pengumuman mengenai kekosongan kerusi berkenaan pada 12 Mei lalu.

“Sudah tentu kita hantar calon kita yang boleh menang, kalau kita tidak yakin untuk menang buat apa kita letakkan calon,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua Kuching Nombor 16 dan Sarawak Club di pejabatnya di Kompleks DUN di sini, semalam.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang menetapkan 4 Julai sebagai tarikh mengundi bagi PRK DUN Pujut.

Ditanya bila pengumuman calon akan dibuat, Ketua Menteri berkata, BN akan memutuskan perkara itu pada mesyuarat bersama parti komponen BN Negeri yang diadakan selepas sambutan Hari Gawai Dayak nanti.

Menyentuh sama ada BN akan meletakkan muka baharu di kerusi DUN Pujut, beliau berkata ia belum diputuskan lagi kerana mahu memberi perhatian sepenuhnya persidangan DUN yang masih berlangsung.

Jelasnya lagi, calon itu diputuskan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Mereka (SUPP dan UPP) perlu putuskan bagaimana saya nak tahu. Saya tidak tahu calon itu sama ada dari SUPP atau UPP,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar yang juga Setiausaha Agung BN Negeri Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk memastikan kemenangan calon BN pada PRK DUN Pujut.

“Kita sentiasa bersiap sedia bila-bila masa sahaja untuk memastikan calon kita menang pada PRK DUN Pujut nanti,” ujarnya.

PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 12 Mei lalu.

Keanggotaan beliau dilucutkan selepas usul Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Seri Wong Soon Koh kerana Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN manakala 10 yang lain membantah.

Sementara itu di Putrajaya, Bernama melaporkan Mohd Hashim sebagai berkata, pada mesyuarat semalam, SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Pujut pada 20 Jun, manakala pengundian awal tidak diadakan.

Katanya, Daftar Pemilih Induk (DPI) 2016 yang dikemas kini sehingga 11 Mei lepas akan digunakan  untuk PRK itu.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi 20,078 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,070 pemilih  biasa dan lapan pemilih tidak hadir luar negara,” katanya.

Berhubung hasrat DAP untuk mencabar keputusan DUN Sarawak itu di mahkamah, Mohd Hashim  berkata SPR akan akur dengan sebarang keputusan mahkamah.

  • oleh
  • Advertisement