Anda di sini

SSSA bimbang pemansuhan Dasar Kabotaj

Advertisement

Industri kapal Sarawak dikhuatiri terima kesan sebab mungkin tidak dapat saingi kapal asing

 Soon (duduk, lima kanan) bersama pemilik kapal membantah cadangan pengecualian Dasar Kabotaj.
BANTAH: Soon (duduk, lima kanan) bersama pemilik kapal membantah cadangan pengecualian Dasar Kabotaj.

SIBU: Persatuan Pemilik Kapal Sabah dan Sarawak (SSSA) membantah pengecualian Dasar Kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo kerana langkah itu memberi kesan negatif kepada industri perkapalan di Sabah dan Sarawak.

 Presiden SSSA, Soon Tin Woo berkata, negara jiran seperti Indonesia mempunyai 18,000 kapal sedangkan hanya 3,000 kapal berdaftar di Sarawak.

 Apabila Dasar Kabotaj itu dimansuh katanya, kapal negara jiran serta kapal dari luar akan bebas berlayar membawa kargo ke perairan Sarawak dan Sabah.

 “Jika keadaan ini berlaku, industri perkapalan tempatan akan mendapat kesan kerana kita tidak mungkin dapat bersaing dengan kapal-kapal dari luar ini,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dihadiri lebih 20 pengusaha kapal di sini, petang kelmarin.

 Menurut Soon, kelasi tempatan juga kehilangan pekerjaan sementara institusi latihan juga limbungan kapal tempatan juga akan menerima kesannya.

 “Memandangan industri perkapalan global kini menghadapi kesukaran dan keadaan tidak menentu, persatuan tertanya- tanya adakah ini masa sesuai memansuhkan Dasar Kabotaj ini,” soalnya.

 Beliau memberitahu, dasar tersebut sebenarnya diliberalisasi secara berperingkat sejak 2009 bagi membolehkan kapal luar membawa kargo dari pelabuhan utama di Semenanjung Malaysia iaitu dari Pelabuhan Kelang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan seterusnya ke Kuching, Bintulu dan Teluk Sebangar.

 Sebelum ini katanya, terdapat 10 syarikat kapal tempatan beroperasi antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, di mana jumlah tersebut telah berkurangan kepada empat syarikat sahaja sejak dasar itu diliberalisasikan.

 “Kita menyokong Dasar Kabotaj ini kerana menjadi tugas kita bagi menjaga kepentingan pemilik kapal, kelasi dan industri perkapalan secara menyeluruh,” ujar Soon.

 Soon menegaskan aktiviti perdagangan tidak terhalang oleh Dasar Kabotaj, sebaliknya oleh pembangunan ekonomi yang tidak seimbang antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

 “Kerajaan perlu melihat punca sebenar harga barangan dan menyelesaikan dengan segera,” katanya sambil menambah pengecualian dasar itu tidak akan menurunkan harga barang di Sabah dan Sarawak.

 Menyentuh mengenai kos pengangkutan, Soon berkata, kos tersebut tidak dinaikkan sejak 15 tahun yang lalu, namun harga barang terus naik.

 “Bagaimana mereka boleh mengatakan bahawa Dasar Kabotaj inilah yang menyebabkan harga makanan naik,” katanya sambil berharap kerajaan mempertimbangkan semula cadangan mengecualikan Dasar Kabotaj itu.

 Mulai 1 Jun ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pengecualian Dasar Kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari pelabuhan di Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

 Dasar Kabotaj ini diperkenalkan kerajaan pada 1980-an dengan setiap barang dibeli dari luar negara perlu melalui Pelabuhan Klang dahulu sebelum dihantar ke Sabah dan Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement