Anda di sini

Skuad B raih kemenangan ketiga berturut-turut

Gol tunggal Mohd Nazri pastikan skuad Piala Presiden Sarawak benam pendahulu Kumpulan A, Kedah

 Barisan kesebelasan utama skuad B Sarawak menentang Kedah semalam.
TERUSKAN KEMENANGAN: Barisan kesebelasan utama skuad B Sarawak menentang Kedah semalam.

KUCHING: Gol tunggal Mohd Nazri Daud memastikan skuad Piala Presiden Sarawak mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan pendahulu liga Kumpulan A, Kedah di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

 Pemain gantian itu menanduk masuk bola hantaran silang rakan pada minit ke- 85 untuk melengkapkan kemenangan tipis 1-0.

 Kedua-dua pasukan saling memperolehi peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama namun dihampakan oleh penyudah tumpul.

 Babak kedua kian rancak dengan kedua pasukan terus berbalas serangan untuk memburu gol.

 Ketika perlawanan hampir berkesudahan seri tanpa jaringan, Nazri memecah kebuntuan dengan tandukan cantik menerjah ke gawang Kedah.

 Ia kemenangan ketiga berturut- turut Sarawak dalam saingan liga membolehkan anak didik Sulaiman Mustanir mengumpul 14 mata hasil dari tiga kemenangan, lima seri dan lima kekalahan.

 “Pemain berjaya mengikut apa yang dirancang dan bermain dengan baik.

 “Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun tuah lebih memihak kepada kita.

 “Syabas kepada barisan pertahanan kerana bermain dengan baik mengekang asakan penyerang Kedah,” ujar Sulaiman mengulas perlawanan itu semalam.

 Beliau bagaimanapun akui masih banyak perlu diperbaiki dalam pasukan itu untuk memastikan Sarawak mengekalkan momentum serupa dalam perlawanan akan datang.

 Sarawak akan meneruskan saingan menentang JDT III di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 22 Mei (Isnin).