Anda di sini

Remaja mengaku simpan harta curi dibebas dengan bon berkelakuan baik

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret supaya dibebas dengan bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun dan jaminan RM2,500 setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyimpan harta curi.

Keputusan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa berdasarkan peruntukan Seksyen 91 (1) (b) Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016).

Juvana terbabit, 16, dan Melvin Joe Ghia, 40, telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit dan Melvin didapati dengan curang telah menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu unit kotak gear dan satu unit enjin sebuah kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Mirian Jiew.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada jam 7 malam, 10 April lalu di sebuah rumah di Kampung Desa Jaya Batu 8 Lambir, Jalan Miri-Bintulu di sini.

Sementara itu, pada 5 Mei lalu, Melvin yang mengaku bersalah atas tuduhan sama telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah yang sama.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement