Anda di sini

Presiden Brazil dirakam sokong rasuah: O Globo

 Penunjuk perasaan disembur dengan semburan lada oleh polis ketika demonstrasi terhadap Temer di Brasilia kelmarin. — Gambar AFP/Reuters
SEMBUR: Penunjuk perasaan disembur dengan semburan lada oleh polis ketika demonstrasi terhadap Temer di Brasilia kelmarin. — Gambar AFP/Reuters

BRASILIA: Presiden Brazil Michel Temer berdepan dengan tuntutan untuk meletak jawatan kelmarin selepas sebuah akhbar melaporkan beliau telah dirakam membincangkan pembayaran wang kepada seorang ahli politik yang korup untuk menutup mulutnya.

Temer segera menafikan laporan dalam akhbar O Globo itu.

Menurut laporan itu, yang tidak dapat disahkan segera, seorang eksekutif dari syarikat pembungkusan daging gergasi JBS, Joesley Batista, berjumpa dengan Temer pada 7 Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, menurut laporan tersebut, Batista merakamkan diri sebagai memberitahu Temer bahawa beliau membayar wang untuk menutup mulut bekas speaker Dewan Rakyat yang aib, Eduardo Cunha.

Cunha berada di penjara selepas didapati bersalah menerima sogokan bernilai jutaan dolar dalam skandal penggelapan wang membabitkan syarikat minyak gergasi Brazil, Petrobras.

Menurut laporan itu lagi, Temer memberitahu Batista: “Anda perlu terus melakukan perkara itu.”

Pejabat Temer mengeluarkan kenyataan yang menyebut: “Presiden Michel Temer tidak pernah meminta bayaran untuk menutup mulut bekas timbalan Eduardo Cunha.”

Globo tidak menyatakan bagaimana ia menerima maklumat mengenai rakaman berkenaan, yang menurutnya ditawarkan dalam satu tawaran rayuan di antara Batista dan saudaranya Wesley dengan pendakwa raya.

Temer mengambil alih kuasa pada tahun lepas ekoran pendakwaan presiden Dilma Rousseff, gempa bumi politik yang umumnya dirancang oleh Cunha yang berpengaruh ketika itu.

Tuntutan segera dibuat lewat kelmarin oleh penentang haluan kiri bagi peletakan jawatan Temer. Parti Pekerja mengeluarkan satu kenyataan yang turut menamakan lima parti lain yang menuntut peletakan jawatannya dan pilihan raya tergempar.

Beberapa ratus penunjuk perasaan anti-Temer berhimpun di Sao Paolo, manakala di ibu negara Brasilia pengguna kenderaan membunyikan hon dan menjerit “Temer keluar!”

Ahli Kongres Alessandro Molon, dari parti Rede, memfailkan tuntutan bagi pendakwaan dengan speaker Dewan Rakyat, Rodrigo Maia.

Maia, yang perlu menerima tuntutan itu untuk memula-kan prosiding, tidak membuat sebarang kenyataan kepada pemberita ketika beliau me-ninggalkan mesyuarat ter-gempar dengan kerajaan, Globo melaporkan.

Kami datang ke sini selepas tuduhan dilaporkan. Kami sudah tahu, tetapi meman-dangkan sekarang ada video, bukti ada bahawa presiden melakukan jenayah,” kata penunjuk perasaan Thiago Rocha, 33, di Brasilia.

Orang ini, seperti saya, apabila mereka melihat perkara itu dalam berita, mereka datang ke sini secara spontan, kerana mereka sudah tidak tahan lagi. Kami mahukan demokrasi, kami berang dengan presiden pemberontakan ini,” kata Rocha, seorang profesor universiti.

Dakwaan dalam O Globo, sebahagian daripada kumpulan media paling berpengaruh dalam negara terbesar di Amerika Latin itu, merupakan kejutan baharu daripada skandal rasuah yang merobek golongan elit dalam dunia politik negara. — AFP