Anda di sini

Piala Belia: Anak buah Safri garang atasi Pulau Pinang

Advertisement
 Pemain merakam detik manis bersama Safri (berdiri tengah) selepas perlawanan berakhir.
GEMBIRA: Pemain merakam detik manis bersama Safri (berdiri tengah) selepas perlawanan berakhir.

KUCHING: Skuad Piala Belia Sarawak terus garang dengan menjadikan Pulau Pinang mangsa seterusnya dalam saingan Kumpulan A.

 Berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang kelmarin, anak buah Safri Amit merakam kemenangan ketiga berturut-turut dengan jaringan 4-2.

 Sekali gus ia melonjakkan Sarawak di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 22 mata hasil dari enam kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan.

 Sarawak cemas seketika apabila penyerang tuan rumah, Shahle Yusoff membuka jaringan seawal minit ketiga.

 Namun, pelawat tidak menunggu lama untuk membalas jaringan menerusi sepakan penalti Zharif Yazin pada minit ke-24.

 Skuad C Sarawak terus di depan pada minit ke-30 hasil jaringan Rivaldo Adrill sebelum kedudukan kembali seimbang selepas Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada minit ke-41 hasil jaringan Muaz Zainal Abidin.

 Babak kedua Sarawak terus bangkit menguasai permainan sepenuhnya.

 Minit ke-53, giliran Amirul Iqmal mencetak nama selaku penjaring Sarawak.

 Ia disusuli dengan jaringan Adif Salim pada minit ke-78 untuk menutup peluang Pulau Pinang bangkit.

 “Alhamdulillah, kita berjaya mengekalkan rentak kemenangan. Syabas kepada pemain kerana memastikan Sarawak terus kekal memberikan saingan.

 “Kita kurang fokus dan lambat menemui rentak di awal permainan, memberi peluang kepada Pulau Pinang menjaringkan gol pada minit ketiga dan 41.

 “Namun, selepas itu kita menguasai permainan sepenuhnya dan berjaya menambah dua jaringan pada babak kedua,” katanya semalam.

 Menurut Safri, fokus seterusnya terhala ke arah persiapan berdepan JDT IV pada 21 Mei (Ahad) di Stadium Mini UiTM Skudai.

 Apa yang pasti, beliau mahu pemain mengekalkan momentum serupa untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Sarawak.

Advertisement