Anda di sini

Penjaga premis didenda kerana jalankan kedai siber secara haram

MIRI: Seorang penjaga premis didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menjalankan perniagaan kedai siber atas talian secara haram.

Bong Bu Kam, 20, dari Indonesia didapati telah menjalankan perniagaan kedai siber atas talian tanpa mempunyai lesen yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 7 Mei lalu di sebuah premis tidak bernombor di kawasan rumah kedai Taman Delight di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang merupakan penjaga premis telah didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Dalam kes berasingan, seorang wanita didenda RM2,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki tiket-tiket loteri haram.

Christie Dorrie Ba, 26, dari Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki sehelai kertas tiket-tiket loteri yang berangka 10,000 sebagai loteri awam haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 29 April lalu di belakang premis sebuah syarikat pemberi pinjaman di Pusat Komersil Centre Point di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.