Anda di sini

Menghina mahkamah, lelaki dipenjara 14 hari

Advertisement
 Kuo dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman 14 hari penjara kerana menghina mahkamah.
DIPENJARA: Kuo dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman 14 hari penjara kerana menghina mahkamah.

SIBU: Seorang lelaki yang bertindak memecahkan pintu dinding sebuah syarikat telekomunikasi pada Mac lepas, dijatuhi hukuman 14 hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menghina mahkamah.

Kuo Tai Tak, 30, dijatuhkan hukuman itu oleh mahkamah selepas tertuduh gagal memberi penjelasan berhubung tindakan mengamuk di mahkamah, semalam.

Majistret Sofia S. Sawayan memerintahkan Kuo membela diri bagi tindakannya itu selepas mengamuk di pekarangan mahkamah pada kira-kira jam 8 pagi.

Difahamkan, tertuduh telah memarkirkan kenderaannya di hadapan pintu masuk ke mahkamah sebelum memasuki kamar Mahkamah Majistret 1 dan duduk di atas bangku.

Bagaimanapun, Kuo tidak memberi sebarang penjelasan berhubung tindakannya itu, menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman 14 hari penjara terhadapnya.

Kuo terdahulu hadir di mahkamah bagi perbicaraan kes memecahkan pintu dinding kaca sebuah syarikat telekomunikasi yang menyebabkan kerugian sebanyak RM20,000 serta kes mengambil dadah.

Dia didakwa memecahkan pintu dinding kaca Digi Centre di Jalan Keranji serta merosakkan tiga unit telefon pintar dan sistem penggera telefon bimbit pada 13 Mac lepas, lebih kurang jam 2 petang, menyebabkan kerugian sebanyak RM11,497.

Bagi pertuduhan mengambil dadah, Kuo didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya ketika ditahan di Balai Polis Pusat Sibu pada 9 Ogos, 2015, kira-kira jam 2.20 petang.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan kedua-dua kes itu sehingga 16 Jun ini.

Sementara itu, Kuo turut menghadapi satu lagi pertuduhan memecahkan dinding dan pintu kaca syarikat telekomunikasi sama di Jalan Wong King Huo dengan menggunakan kayu golf pada 13 Mac lepas, lebih kurang jam 1.45 petang.

Ini menyebabkan syarikat mengalami kerugian sebanyak RM23,364.71. Kes ini akan disebut semula esok.

Advertisement