Anda di sini

KPDNKK lancar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Gawai

 Hamzah (dua kiri) menunjukkan tanda harga berwarna merah jambu yang wajib dipamerkan pada 13 jenis barangan harga terkawal dibawah SKHMP Hari Gawai dan Pesta Keamatan 2017. Turut kelihatan Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan, Datuk Naroden Majais (kiri).
TERKAWAL: Hamzah (dua kiri) menunjukkan tanda harga berwarna merah jambu yang wajib dipamerkan pada 13 jenis barangan harga terkawal dibawah SKHMP Hari Gawai dan Pesta Keamatan 2017. Turut kelihatan Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan, Datuk Naroden Majais (kiri).

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 13 jenis barangan harga terkawal dibawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Gawai 2017. 

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata skim kawalan harga ini akan berkuatkuasa bermula pada 27 Mei hingga 2 Jun di Sarawak dan 25 Mei hingga 31 Mei di Sabah dan Wilayah Persekutuan sempena Pesta Keamatan 2017. 

Senarai 13 jenis barangan harga terkawal bagi SKHMP Hari Gawai 2017 terdiri daripada ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hampedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hampedal), ayam tua hidup dan kepak ayam. 

Lain-lain barangan termasuklah telur ayam gred A, gred B, gred C, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak). 

Manakala 13 jenis barangan harga terkawal bagi SKHMP Pesta Keamatan 2017 terdiri daripada, ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hampedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hampedal) dan kepak ayam. 

Barangan lain termasuklah, telur ayam gred A, gred B, gred C, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).  

“Skim kawalan harga ini akan dilaksanakan selama tujuh hari iaitu lima hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan sehari selepas perayaan. 

“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini, para ara peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna. 

“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini akan diambil  tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antopencatutan 2011,” katanya pada sidang media pengumumanan senarai barangan harga terkawal bagi kedua-dua skim itu di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini. 

Dalam pada itu individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000. 

Manakala kesalahan bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. 

Gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.