Anda di sini

Jelajah ‘Tionggom Kaamatan’ sasar golongan kurang mampu

Advertisement
 Konvoi Jelajah Tionggom Kaamatan bertemakan ‘Sayang Sabah’.
JULUNG KALI: Konvoi Jelajah Tionggom Kaamatan bertemakan ‘Sayang Sabah’.

KOTA KINABALU: Bersempena bulan Pesta Kaamatan yang dirayakan oleh kaum Kadazandusun dan Murut (KDM) di negeri ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) Inanam telah mengadakan Jelajah ‘Tionggom Kaamatan’ fasa pertama bagi memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Jelajah Tiongom Kaamatan bertemakan `Sayang Sabah’ yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini menyasarkan seramai 41 orang melibatkan tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Poring-Poring, Kokol dan Pulutan.

Jelajah yang turut disertai seramai tujuh belia bermotosikal serta lebih sepuluh kenderaan pacuan empat roda itu memulakan jelajah mereka dari rumah ke rumah bermula pada jam 8 pagi dan berakhir jam 6 petang.

Menurut Ketua Bahagian PBS Inanam Fredolin Totin Bangon, program jelajah Tiongom Kaamatan merupakan julung kali diadakan dengan cara berkonvoi beramai-ramai bagi menyampaikan sumbangan sambil beramah mesra dengan penerima serta keluarga yang terlibat dari rumah ke rumah.

Beliau berkata walaupun sumbangan itu tidak sebanyak mana namun ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang sakit.

Pemberian sumbangan ini amat bermakna serta bertepatan di mana pada bulan ini masyarakat Kadazandusun akan merayakan sambutan Pesta Menuai dan ini boleh dikatakan hadiah parti kepada penerima,” katanya.

Fredolin yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan Inanam turut berterima kasih kepada golongan belia, pemuda, wanita serta AJK Bahagian PBS yang terlibat dalam jelajah itu, dan berharap pada fasa kedua nanti program turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Turut serta dalam jelajah itu ialah Naib 1 PBS Bahagian Raimin Sahat, Naib II PBS Bahagian Roger Impau, Setiausaha Bahagian Mazlan Daima, Ketua Pemuda PBS Bahagian Albert Jumitih, Naib 1 Wanita PBS Bahagian Mindy Matusin, Biro Kebajikan PBS Bahagian Jiniah Baranting, Pengerusi JKKK Poring-Poring Justin Solidau dan Pengerusi JKKK Kokol Richard Daut Nassun.

Advertisement