Anda di sini

Industri perkayuan antara penyumbang sosioekonomi Sarawak

Advertisement

KUCHING: Industri perkayuan terus menjadi salah satu penyumbang yang signifikan kepada pertumbuhan sosioekonomi Sarawak, walaupun bekalan kayu balak yang terhad dalam pasaran tempatan serta pasaran yang tidak menentu terus memberi impak kepada eksport perkayuan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pendapatan keseluruhan Sarawak daripada eksport kayu dan produk kayu dicatatkan sebanyak RM1.42 bilion.

Menurutnya, Jepun masih menjadi pembeli terbesar kayu dan produk kayu dari negeri ini, yang menyumbang kepada 42 peratus atau RM592 juta daripada hasil pendapatan eksport keseluruhan diikuti India 15 peratus (RM213 juta), Korea Selatan 10 peratus (RM146 juta) dan Timur Tengah 8 peratus (RM112 juta).

Papan lapis, kayu balak, kayu gergaji dan papan gentian densiti sederhana (MDF) merupakan produk eksport utama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Perkayuan Sarawak dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Ke-3 2017 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menambah, eksport perabot kayu Sarawak juga mencatat peningkatan sebanyak lima peratus kepada RM11.16 juta dalam suku pertama 2017 daripada RM10.66 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Katanya, trend yang positif ini merupakan petanda yang baik bagi pertumbuhan pada masa depan dan eksport perabot dari Sarawak.

Sementara, majlis turut menyaksikan upacara menandatangani MoU antara pemain-pemain utama dalam industri perkayuan dengan pembeli masing-masing, dengan kontrak jualan keseluruhan bernilai RM80 juta.

MoU tersebut adalah melibatkan kumpulan syarikat KTS dengan Marubeni Corporation, Shin Yang dengan Al Rahmani General Trading Co L.L.C, Ta Ann dengan Hayashi Plywood Industrial Co LTD, Samling dengan Squitz Building Material Corporation, WTK dengan Sumitomo Forestry Co LTD dan RH dengan RH Multiagro Impex PTE. LTD (Singapura).

Komitmen kontrak ini diharap dapat meningkatkan eksport produk kayu dari Sarawak dan terus menyokong pertumbuhan industri perkayuan,” kata Awang Tengah.

Advertisement