Anda di sini

FAS tamatkan kontrak Mark atas persetujuan bersama

Advertisement

KUCHING: Spekulasi melingkari nasib penyerang Sarawak, Mark Andrew Hartmann akhirnya terlerai selepas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengesahkan telah menamatkan kontrak pemain itu.

 Menurut sumber dari FAS, penyerang kebangsaan Filipina itu telah bersetuju untuk berpisah dengan Sarawak selepas persetujuan bersama dicapai antara kedua pihak.

 Bagaimanapun, nasib seorang lagi pemain, Lee Jong Ho yang turut dalam senarai untuk digugurkan masih tergantung kerana belum ada persetujuan dicapai antara kedua pihak.

 Sepanjang bersama dengan Sarawak, Mark, 25, hanya menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Super 2017 dan empat gol dalam kempen Piala FA 2017.

 Sementara itu, pemain dari Montenegro, Milos Raickovic menjadi calon pertama mencuba nasib untuk mengisi kekosongan dalam skuad Sarawak.

 Pemain tengah itu tiba kelmarin namun belum menyertai sesi ujian di Padang C semalam.

 “Kita akan melihat dahulu kemampuan Milos (Raickovic). Banyak kriteria yang akan kita pertimbangkan.

 “Sudah tentu beliau perlu menunjukkan kualiti yang lebih baik dari pemain sebelum ini untuk membantu skuad memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super,” ujar Ketua Jurulatih, David Usop semalam.

 Apa yang pasti, peluang Milos, 23 untuk menjadi pemain import baharu Sarawak tampak cerah selepas FAS gagal menambat pemain dari Lubnan, Abo Baker El Mel kerana disambar awal oleh skuad Kelantan.

 Beliau banyak menghabiskan karier bermain dalam Liga Bola Sepak Montenegro dengan kelab terakhir disertainya Buducnost Podgorica.

Advertisement