Anda di sini

Dadah: Tiga lelaki ditahan ketika khayal

Syabu dan Erimin 5 dirampas, semua suspek juga didapati positif Methamphetamine

 Dadah yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS: Dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan penempatan semula di Stutong di sini, kelmarin.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan warga tempatan dan semasa ditahan dikatakan berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat kesan dadah sekitar jam 12 tengah hari Rabu lepas.

Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Stutong dan berjaya menangkap tiga lelaki kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Turut dirampas ialah dadah jenis syabu seberat 6.17 gram dengan nilai sekitar RM1,110 dan dua biji pil Erimin 5 dengan anggaran harga RM40,” kata sumber.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki yang berusia 31 hingga 44 tahun itu kemudian dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu ketiga-tiga suspek telah diarahkan untuk membuat ujian saringan air kencing.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB).