Anda di sini

Buruh warga asing dipenjara kerana tinggal melebihi tempoh

Advertisement

MIRI: Seorang buruh warga asing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosialnya luput tarikh sah.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakukan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Muslimin, 22, dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 12.30 pagi, 12 Mei lalu di sebuah kedai makan di Pusat Komersil Bintang Jaya di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang merupakan warga negara Indonesia masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah.

Sehubungan itu, tertuduh kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Advertisement