Anda di sini

Australia banteras sindiket penipuan terbesar

Advertisement

Timbalan pesuruhjaya ATO dan anak dituduh antara mendalangi skim tipu kerajaan AUS$165 juta

 Jam tangan mewah, wang kertas dan pistol antara barangan dirampas dalam siasatan penipuan cukai dipamer pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Persekutuan Australia di Sydney semalam. — Gambar AAP/Paul Miller/Reuters
RAMPASAN: Jam tangan mewah, wang kertas dan pistol antara barangan dirampas dalam siasatan penipuan cukai dipamer pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Persekutuan Australia di Sydney semalam. — Gambar AAP/Paul Miller/Reuters

SYDNEY: Polis Australia telah membanteras satu sindiket penipuan besar-besaran dan merampas pesawat, senapang dan kereta mewah, kata mereka semalam, dan seorang pegawai percukaian pangkat tertinggi dan anaknya turut dibabitkan dalam komplot tersebut.

Sembilan orang ditahan sewaktu serbuan ke atas rumah dan premis perniagaan di negeri New South Wales kelmarin, dituduh berkonspirasi untuk menipu kerajaan sebanyak AUS$165 juta (RM528 juta) dalam salah satu jenayah kolar putih terbesar dalam sejarah Australia.

Timbalan pesuruhjaya Pejabat Percukaian Australia (ATO) Michael Cranston berdepan dengan tuduhan me-nyalahguna kuasa dan penjara selama lima tahun, manakala anaknya yang hidup mewah Adam didakwa sebagai antara mereka yang mendalangi skim yang terperinci itu.

Anak perempuan Cranston juga dilaporkan sudah ditangkap.

Dakwaan tentang nilai penipuan dalam konspirasi ini adalah AUS$165 juta yang diambil daripada sistem percukaian,” kata Timbalan Pesuruhjaya Operasi Polis Persekutuan Australia Leanne Close.

Beliau berkata motivasi dipercayai untuk membiayai gaya hidup yang mewah.

Mereka menggunakan skim itu “untuk menyalurkan wang pembayar cukai kepada pembelian kereta, barangan kemas, wang tunai dan motosikal”.

Aset-aset yang dirampas termasuk wang tunai sebanyak AUS$15 juta (RM48 juta), dua pesawat, 18 hartanah, 24 kereta mewah dan vintaj, senjata api, karya seni dan wain yang jarang ditemui.

Polis mendakwa sebuah syarikat pembayaran gaji yang sah didakwa menyalurkan pembayaran gaji menerusi beberapa firma yang diberi subkontrak, dan dikuasai sindiket berkenaan, yang seterusnya membayar ATO hanya segelintir sahaja daripada cukai pendapatan yang wajib dibayar.

Baki cukai yang ditahan kemudian didakwa disalur-kan ke dalam saku pengusaha komplot menerusi beberapa syarikat dan tabung amanah yang rumit.

Michael Cranston tidak dituduh terlibat secara langsung dalam penipuan itu, tetapi didakwa mengakses mak-lumat daripada sistem ATO untuk anaknya.

Anaknya dipercayai telah memintanya untuk mengakses beberapa maklumat yang berpotensi,” kata Close.

Kami tidak percaya bahawa setakat ini beliau tahu-menahu tentang konspirasi sebenar dan penipuan yang berlaku.”

Di antara mereka yang ditangkap, enam didakwa atas tuduhan menipu Komanwel, manakala suspek lain berdepan dengan tuduhan meng-ubah wang dan melakukan pemerasan.

Ketua ATO Andrew Mills berkata empat pegawai pejabat percukaian lain sedang disiasat secara dalaman, tetapi beliau menafikan orga-nisasinya telah terjejas.

Maklumat yang ada pada saya setakat ini tidak menun-jukkan sebarang gangguan operasi pentadbiran kami,” katanya.

Sistem, kawalan dan pro-sedur kita berfungsi dengan berkesan dan kami berjaya mengasingkan dan melin-dungi siasatan, bekerja baik dengan polis dalam tempoh berbulan-bulan untuk membina gambaran mengenai apa yang telah berlaku.”

Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata operasi polis menunjukkan bahawa tiada sesiapa, tidak kira kedudukan mereka, yang lebih tinggi daripada undang-undang.

Tidak kira betapa tinggi kedudukan mereka dalam jabatan kerajaan, mereka sedang dipantau,” katanya.

Kita tidak boleh bersikap sambil lewa mengenai sebarang aspek integriti dalam kehidupan awam atau dalam kerajaan. Kita perlu membanteras gejala rasuah, salah laku, penyalahgunaan kuasa, tanpa henti-henti, dan polis memberi tumpuan yang sangat fokus kepadanya, saya boleh beri jaminan kepada anda.” — AFP

Advertisement