Anda di sini

Agresif laksana R&D

Syarikat pembalakan, pemain industri perlu ambil inisiatif wujud hutan perindustrian demi masa depan mapan: KM

 Abang Johari melihat sampel kayu yang dipamerkan di ruang pameran KTS sempena Ekspo Perkayuan Sarawak dan PKS Ke-3 2017 di BCCK, semalam. Turut kelihatan, Awang Tengah (kiri) dan Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai.
TERTARIK: Abang Johari melihat sampel kayu yang dipamerkan di ruang pameran KTS sempena Ekspo Perkayuan Sarawak dan PKS Ke-3 2017 di BCCK, semalam. Turut kelihatan, Awang Tengah (kiri) dan Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai.

KUCHING: Syarikat-syarikat pembalakan dan pemain industri berkaitan dikehendaki menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara agresif bagi pelan penanaman hutan industri untuk memperbaiki kelestarian sumber kayu.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu penting untuk mewujudkan hutan perindustrian demi masa depan industri yang mapan.

Menurut beliau, aktiviti pembalakan sudah berpuluh tahun dijalankan di negeri ini, namun tiada pengurusan terbaik dilaksana untuk memelihara hutan, selain memastikan bekalan kayu balak yang berterusan.

Penanaman pokok untuk hutan industri sangat penting yang akhirnya akan memastikan bekalan kayu balak mencukupi dan berterusan kepada industri perkayuan pada masa depan sekali gus mengurangkan tekanan untuk menebang hutan semula jadi.

Agensi relevan dan pemegang kepentingan dalam industri perkayuan seharusnya menjalin kerjasama dalam inisiatif R&D bagi memastikan pulangan nilai yang lebih tinggi dan masa depan industri yang mapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Perkayuan Sarawak dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Ke-3 2017 anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Abang Johari turut menekankan agar industri R&D seharusnya merangkumi penambahbaikan hutan semula jadi, kualiti hutan ditanam dan produktiviti, metodologi penebangan dan produk industri hiliran.

Katanya, kepentingan itu adalah kerana industri perkayuan akan terus memainkan peranan signifikan dalam pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa depan kerana ia masih menjadi sumber pendapatan yang penting.

Semua ini dapat dicapai dengan sokongan pemain industri ke arah melaksanakan rangka kerja struktur industri sewajarnya yang lestari, selain melaksanakan dengan agresif inisiatif R&D untuk menghasilkan produk nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Abang Johari juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan polisi bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk tidak mengeluarkan lesen pembalakan ke atas tanah kerajaan.

Katanya, langkah itu adalah untuk memelihara serta melindungi hutan dan sumber biodiversiti di negeri ini.

Saya berharap dalam jangka panjang, kita tidak perlu bergantung kepada eksport balak lagi kerana kita tidak mahu menyentuh hutan simpan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan optimis Sarawak boleh menjadi pengeluar serta pengeksport perabot kayu terbesar di Malaysia kerana mempunyai sumber kayu yang banyak.

Katanya, pada masa ini, pengeluar dan pengeksport perabot kayu terbesar negara ialah Johor.

Jika dibandingkan dengan Johor, kita mempunyai sumber kayu yang lebih banyak dan oleh itu, pemain industri perabot di Sarawak harus berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan produk berkualiti,” katanya.