Anda di sini

Serian enggan dibuai keyakinan

Advertisement

Philip mahu pemain fokus sepenuhnya hadapi Gua Musang pada final kedua LBR Ahad ini

 Philip (kiri) dan pemain Serian FA mengintai gelaran juara LBR edisi 2016/2017.
FOKUS: Philip (kiri) dan pemain Serian FA mengintai gelaran juara LBR edisi 2016/2017.

KUCHING: Pengurus Serian FA, Philip Jabu menegaskan skuadnya tidak akan memandang mudah perlawanan final kedua Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Peringkat Kebangsaan edisi 2016/2017 menentang Gua Musang pada Ahad ini (21 Mei) di Stadium Negeri, Petra Jaya.

 Meskipun sudah boleh menghidu gelaran juara selepas kemenangan tipis 1-0 pada final pertama di tempat lawan Ahad lepas, Philip mengingatkan pemain ia bukan alasan untuk mereka terus dibuai keyakinan.

 Sebaliknya, beliau menegaskan kepada pemain agar terus memberikan fokus sepenuhnya untuk menghadapi final kedua.

 “Walaupun telah mendahului l awan, kami tetap menjalani latihan seperti biasa bermula semalam. Kami tidak mahu dibuai keyakinan malahan saya tidak memberi cuti kepada pemain dan wajib menjalani latihan seperti biasa.

 “Saya juga tidak membenarkan pemain meraikan kemenangan final pertama tempoh hari, sebaliknya menjadikannya sebagai suntikan semangat,” katanya semalam.

 Philip juga menolak andaian gelaran juara sudah dalam genggaman Serian FA pada Ahad ini.

 Namun yang pasti katanya, Serian FA tidak akan mempersia-siakan peluang bermain di tempat sendiri dan berusaha lebih keras dari pelbagai sudut terutama mempertajamkan jentera penyudah.

 “Muncul juara adalah rezeki Tuhan. Keyakinan memang ada, sebab itulah saya mengarahkan anakanak buah menjalani latihan dengan lebih gigih agar dapat mempertahankan kelebihan gol di tempat sendiri.

 “Kita tidak akan memasang sebarang strategi khas dan tetap kekal dengan perancangan sedia ada menjelang perlawanan akhir nanti.

 “Persiapan seperti biasa dan kita lebih memberi fokus terhadap mempertajamkan sentuhan gol dan memperkemaskan semua posisi,” katanya lagi.

 Beliau juga mengharapkan sokongan padu daripada seluruh warga Sarawak agar datang beramai-ramai memenuhi Stadium Negeri, Petra Jaya pada Ahad nanti.

 “Datanglah beramai-ramai menggunakan baju berwarna biru sebagai tanda sokongan kepada Serian FA,” kata Philip lagi.

 Perlawanan final kedua akan bermula pada jam 9 malam.

Advertisement