Anda di sini

Pertandingan Mulvec dijangka dapat sambutan lebih tinggi daripada pelajar IPT

Advertisement

PUTRAJAYA: Sambutan Pertandingan Video Multimedia (Mulvec) Siri 2 dan Siri 3 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan Utusan Online dijangka lebih menggalakkan dalam kalangan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan penganjuran Mulvec Siri 1 yang menyaksikan penyertaan 87 IPT tempatan termasuk politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

Katanya penganjuran Mulvec adalah langkah tepat dalam mencungkil bakat serta mengalakkan generasi muda untuk berfikir di luar kebiasaan bagi mengetengahkan idea-idea kreatif melalui penghasilan video yang artistik.

Kita akan teruskan momentum kecemerlangan ini pada siri kedua. Siri 1 Mulvec ini kita lihat sebagai pemanas badan. Kita mungkin akan membuka (siri seterusnya) kepada masyarakat keseluruhannya.

Kita berharap mereka yang menyertai kelak bukan mengeluarkan video semata-mata tetapi memahami program-program yang dijalankan oleh kementerian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Hadiah Mulvec 2017 Siri Pertama di sini semalam. — Bernama

Mulvec dibahagikan kepada tiga siri bermula 1 Dis lalu untuk Siri 1 manakala Siri 2 sedang berlangsung sehingga 31 Mei ini seterusnya Siri 3 bermula 1 Jun sehingga 15 Ogos nanti.

Pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM10,000; kedua RM5,000; ketiga RM3,000 dan 10 hadiah sagu hati RM1,000 setiap peserta.

Sementara itu, video bertajuk Alternatif, hasil ciptaan tiga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobatkan juara dalam Mulvec 2017 Siri 1 dan video pendek berdurasi empat minit yang dihasilkan oleh Kumpulan EZ menceritakan dua kemungkinan bakal berlaku kepada peminjam PTPTN.

Ketua pasukan Ahmad Arif Ahmad Shauqi, 23, berkata, dia dan dua rakan lain tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai pertandingan membuahkan hasil apabila mereka menjuarai pertandingan itu.

Kami ingin mengetengahkan tanggungjawab membayar semula pinjaman PTPTN supaya orang lain dapat menggunakan semula dana PTPTN pada masa depan walaupun sukar untuk dilunaskan akibat kekangan masa.

Bagaimanapun, kami berharap video ini dapat memberi pengajaran kepada orang ramai betapa pentingnya bayaran semula pinjaman,” katanya. — Bernama

Advertisement