Anda di sini

4,620 belia dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat

MELAKA: Sejumlah 4,620 belia berusia 18 hingga 21 tahun yang terjebak dengan masalah sosial dan kes jenayah telah dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat antara tahun 2008 hingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,154 belia telah tamat menjalani perintah berkenaan dalam tempoh masa tertentu sehingga 420 jam.

Sebanyak 2,851 pelatih atau 87 peratus daripada jumlah mereka yang dijatuhi hukuman berkenaan berjaya menamatkan perintah tersebut manakala 13 peratus lagi tidak berjaya menamatkan hukuman itu.

Ini adalah satu pencapaian yang terbaik dan menunjukkan keberkesanan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat dan kita menyasarkan sifar peratus pelatih yang tidak berjaya menamatkan hukuman berkenaan menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kem Kerohanian Perintah Khidmat Masyarakat peringkat kebangsaan 2017 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azman Mohd Yusof, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Zulkiply Ramli dan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar. — Bernama

Mengulas lanjut, Azizah berkata pelatih yang tidak berjaya menamatkan Perintah Khidmat Masyarakat tersebut disebabkan mereka melanggari perintah mahkamah, tidak patuh dengan perintah yang dikeluarkan atau masih terlibat dengan masalah sosial atau jenayah dalam tempoh hukuman berkenaan.

Beliau berkata Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan memberi pemulihan dan mencegah pesalah muda daripada mengulangi kesalahan lepas dan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat melalui elemen hukuman, pemulihan dan penginsafan.

Katanya, pelaksanaan perintah tersebut juga sebagai peluang kedua yang diberi kepada golongan belia untuk menambah baik kehidupan mereka pada masa hadapan.

Sementara itu, Azizah berkata penglibatan golongan belia atau remaja dalam masalah sosial dan jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan kelemahan sistem kekeluargaan dan kemasyarakatan di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah, sebanyak 38,035 pasangan bercerai dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas dengan purata sekurang-kurangnya 156 pasangan bercerai setiap hari.

Kebanyakannya berpunca daripada isu kekeluargaan apabila berlakunya ketidaksefahaman, isteri curang, suami tidak bertanggungjawab selain penggunaan gajet elektronik dan media sosial yang tidak terkawal sehingga memberi kesan kepada pembesaran anak,” katanya. — Bernama