Anda di sini

Ikut perlembagaan

Advertisement
 Asfia menunjukkan kenyataan media bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan melucutkan keahlian Dr Ting sebagai wakil rakyat Pujut, semalam.
PENJELASAN TERPERINCI: Asfia menunjukkan kenyataan media bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan melucutkan keahlian Dr Ting sebagai wakil rakyat Pujut, semalam.

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon bukan sahaja hilang keahlian dalam Dewan Undangan Negeri, malahan kewarganegaraan Malaysia beliau pun terlucut.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar yang berkata demikian menambah, kewarganegaraan rakyat negara ini gugur secara automatik apabila memiliki kewarganegaraan lain.

“Apabila anda memiliki kewargenagaraan lain, menurut Artikel 24(1) Perlembagaan Persekutuan, anda telah hilang kewarganegaraan Malaysia.

“Selepas itu, apabila anda membuang kewarganegaraan Australia itu, tidak bermakna anda mendapat semula status kewarganegaraan Malaysia (secara automatik).

“Jika anda bukan lagi warganegara Australia, anda perlu memohon semula sebagai warganegara Malaysia seperti mengikut Artikel 23(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Susulan pelucutan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut, Asfia berkata pihaknya semalam telah mengemukakan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

SPR akan bermesyuarat pada 19 Mei ini untuk menentukan tindakan lanjut berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK).

Asfia menegaskan tindakan yang disokong 70 orang ADUN dan ditentang 10 ahli pada persidangan DUN Jumaat lepas adalah selaras dengan Artikel 17(1)(g) Perlembagaan Negeri dan di bawah lingkungan dan skop Perlembagaan Persekutuan.

Usul bagi melucutkan keahlian Dr Ting diutarakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh diluluskan selepas diundi - dan keputusan itu mungkin yang pertama dalam sejarah Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

Asfia berkata, Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut, “Kesahihan mana-mana prosiding dalam Dewan Undangan Negeri oleh mana-mana negeri tidak sepatutnya dipersoalkan di mahkamah.”

Beliau memberikan contoh keputusan pengadilan terhadap kes Lim Cho Hock menentang Speaker Perak:

“Dewan Undangan Negeri merupakan ‘kuasa akhir’ dalam mana-mana persoalan yang timbul berkaitan sama ada ahli Dewan Undangan Negeri hilang kelayakan sebagai ahli.

“Perkara tersebut adalah terpulang kepada Dewan Undangan Negeri menentukan dan dalam bidang kuasa keistimewaannya dan bukan untuk mahkamah memutuskan.”

Menurutnya lagi, Artikel 19(1) Perlembagaan Negeri Sarawak pula menyebut:

“Jika wujud apa jua persoalan sama ada Speaker atau ahli Dewan Undangan Negeri telah ditamatkan kelayakan terhadap lantikan atau pilihan raya antaranya, keputusan Dewan sewajarnya diambil dan sewajarnya muktamad.”

Berdasarkan keterangan dua artikel itu, Asfia berkata adalah jelas tindakan terhadap Dr Ting terletak dalam bidang kuasa keistimewaan Dewan dan bukan untuk mahkamah menentukannya.

Beliau turut menegaskan keadilan telah diberikan kepada Dr Ting semasa usul itu dibahaskan menerusi ruang untuk menjawab, malah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen ketika itu turut berpeluang mempertahankan kedudukan berdasarkan prinsip ‘audi alteram partem’ yakni hak untuk didengari.

Justeru, selepas proses pengundian dijalankan dan usul itu diluluskan, Dr Ting diputuskan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat DUN Pujut.

Kerusi itu kini kosong seperti termaktub di bawah Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri.

Mengenai keputusan Dr Ting untuk membawa isu itu ke mahkamah, beliau berkata pihaknya akan memfailkan writ untuk membatalkan writ dikemukakan Dr Ting.

  • oleh
  • Advertisement